KIP REIT selesai ambil alih KIPMall Kota Warisan bernilai RM80 juta | DagangNews Skip to main content

KIP REIT selesai ambil alih KIPMall Kota Warisan bernilai RM80 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mengumumkan cadangan pengambilalihan KIPMall Kota Warisan daripada Cahaya Serijaya Sdn Bhd pada harga RM80 juta telah selesai.

 

Ia berkata kawasan boleh disewa bersih KIPMall Kota Warisan seluas lebih 186,000 kaki persegi menambah hampir 10% kawasan boleh disewa bersih keseluruhan KIP REIT kepada lebih dua juta kaki persegi.

 

Pusat beli-belah terbaharu itu memperluaskan portfolio KIP REIT kepada 11 aset, merangkumi AEON Mall Kinta City di Ipoh; enam KIPMalls sedia ada di Bangi, Tampoi, Kota Tinggi, Masai, Senawang dan Melaka; serta tiga hartanah perindustrian di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

 

KIPMall Kota Warisan terletak di Sepang, Selangor, berhadapan dengan jalan utama yang dikelilingi pembangunan lain seperti Glomac Saujana, Perbandaran Sunsuria Serenia dan kampus Universiti Xiamen dengan sambungan mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Damansara Puchong.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan berkata, pusat beli-belah itu akan menjadi aset tidak ternilai memandangkan kadar sewaan tinggi sehingga 99% mampu memberikan pulangan yang stabil dan menarik.

 

"Kami telah menyasarkan KIPMall Kota Warisan dari hari pertama dalam pelan strategi kami untuk memperoleh aset pertambahan nilai yang memberikan hasil sewa yang stabil. 

 

 

kip reit
Valerie Ong Pui Shan

 

 

"Kami berbesar hati kerana pemerolehan ini telah selesai. Kami jelas akan terus mencari aset runcit yang berpaksikan komuniti, tidak melupakan aset industri untuk meningkatkan lagi nilai jangka panjang pemegang unit kami," katanya dalam kenyataan media di sini. - DagangNews.com