kipleX, Ficus peruntuk dana hingga RM2 juta untuk syarikat teknologi menerusi NTIS | DagangNews Skip to main content

kipleX, Ficus peruntuk dana hingga RM2 juta untuk syarikat teknologi menerusi NTIS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Dua syarikat dana modal teroka, kipleX, Ficus Venture Capital telah menyertai Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) sebagai pemberi dana baharu bagi memperkukuh kolaborasi sektor awam dan swasta untuk memacu pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara.

 

Menerusi penyertaan mereka, jumlah dan pilihan dana di dalam NTIS akan berkembang, seterusnya melonjakkan peruntukan awal kerajaan sebanyak RM100 juta bagi tujuan tersebut.

 

Menurut NTIS, Ficus bakal memperuntukkan dana antara RM500,000 hingga RM2 juta bagi setiap perjanjian, sementara nilai yang sama diperuntukkan oleh kipleX untuk syarikat permulaan antara tahun 2020 hingga 2023.

 

Modal pelaburan berkenaan kini diperluaskan ke peserta NTIS yang menumpukan kepada perniagaan teknologi.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) , Amiruddin Abdul Shukor berkata, kolaborasi itu akan mengembangkan inovasi mereka ke saluran komersial, membolehkan lebih banyak syarikat teknologi yang berada di peringkat awal untuk menyertai Sandbox tersebut.

 

“Ketika ini, produk yang dibiayai berada di peringkat 6 Technology Readiness Level (TRL) atau lebih daripada itu.

 

Amiruddin Abdul Shukor
Amiruddin Abdul Shukor

 

“Kini, dengan lebih banyak pelaburan dan pilihan pendanaan yang tersedia, kami boleh menyokong lebih banyak syarikat, mencuba untuk mematangkan inovasi produk mereka terutamanya ketika tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sejak dilancarkan, NTIS telah menerima lebih 500 permohonan lengkap, dengan lebih 150 daripadanya telah menerima dana, sokongan pemasaran dan teknikal.

 

Kira-kira separuh daripada projek yang diluluskan melibatkan pembangunan produk dan penyelesaian Sistem Kepintaran Canggih.

 

Dari segi permohonan mengikut sektor, lebih 50% daripada projek yang diluluskan memberi manfaat kepada industri perubatan dan penjagaan kesihatan, pertanian dan perhutanan serta tenaga.

 

“Bagi pelaksanaan yang masih lagi berjalan, sebanyak 72 syarikat Malaysia telah diluluskan untuk pendanaan. Tambahan untuk pendapatan modal teroka di dalam NTIS membolehkan syarikat asing untuk turut menyertai program tersebut,” tambah Amiruddin.

 

Menurut Pengerusi Ficus, Nor’Azamin Salleh, syarikat akan membantu peserta NTIS untuk menambah baik pasaran dan pengesahan produk mereka.

 

Nor’Azamin Salleh
Nor’Azamin Salleh

 

Katanya, Ficus mempunyai rangkaian mentor yang luas di seluruh dunia untuk membantu syarikat-syarikat bersedia dari segi teknikal dan pasaran.

 

Andrew Tan
Andrew Tan

 

Sementara, kipleX kebiasaannya akan melabur di dalam syarikat-syarikat teknologi permulaan dalam bidang teknologi kewangan, mobiliti, internet kebendaan (IoT), proptech dan artificial intelligence (AI), menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andrew Tan. - DagangNews.com