Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Indeks pasaran saham Malaysia, KLCI dibuka rendah selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan bahawa tiada pakej rangsangan tambahan yang bakal dikeluarkan negara itu.
Setakat 9.05 pagi, KLCI merudum sebanyak 0.68 mata atau 0.05%, mencecah paras 1,50879.
Rakuten Trade Research menjangkakan pasaran rantau akan diniagakan dengan paras lemah didorong ketidaktentuan isu berkenaan.
“Di pasaran tempatan, aktiviti penjualan lewat menyebabkan KLCI ditutup lebih rendah semalam dan kami menasihatkan pelabur untuk kekal ‘sideline’ (melabur dalam kaunter kurang berisiko atau simpan pelaburan bagi jangka masa pendek).
“KLCI dijangka berada dalam lingkungan 1,505 hingga 1,515,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasaran hariannya.
Sementara itu, pasaran saham Asia turut dibuka rendah didorong penurunan Wall Street selepas Trump menghentikan harapan pemberian pakej rangsangan ke-4.
Menurut Reuters, niaga hadapan S&P 500 jatuh 0.58% pada awal dagangan, manakala niaga hadapan Australia dan Jepun masing-masing merosot 0.29% dan 0.17%.
Semalam, Wall Street dibuka tinggi selepas laporan Trump telah pulang dari hospital sekaligus melenyapkan kebimbangan pelabur terhadap ketidaktentuan politik.
Bagaimanapun, lonjakan itu merudum dengan ketara selepas beliau menghentikan rundingan untuk pakej rangsangan menerusi pengumuman di Twitter, ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya AS menjelang 3 November.
Sebelum ini, Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell telah memberi amaran bahawa negara ekonomi terbesar itu akan berdepan proses pemulihan yang lemah tanpa sokongan fiskal tambahan.
Dow Jones Industrial Average merudum 1.34%, S&P 500 hilang 1.40% dan Nasdaq Composite jatuh 1.57%.
“Pandangan kami untuk beberapa waktu adalah terhadap perjanjian rangsangan yang tidak mungkin berlaku sebelum pilihan raya presiden pada 3 November,” kata Ketua Ekonomi Antarabangsa di Commonwealth Bank of Australia, Joseph Capurso dalam nota kajiannya. - DagangNews.com