KLCI dibuka tinggi naik 0.29% | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi naik 0.29%


KUALA LUMPUR 16 Okt. - Pasaran saham Malaysia hari ini mula menunjukkan trend menaik, berbeza dengan saham-saham Asia lain yang berdepan sedikit tekanan.

Setakat 9.08 pagi, KLCI naik 0.29% atau 4.45 mata mencecah paras 1,518.40.

Bagaimanapun, Rakuten Trade Research menjangkakan KLCI akan mengalami trend penurunan dan menguji paras sokongan segera 1,510.

“KLCI yang menyaksikan penjualan lewat semalam akan berdepan trend menurun dengan 1,510 sebagai paras sokongan segera dan 1,500 paras sokongan psikologi.

“Sementara itu, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini, kami mengesan peningkatan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran bursa tempatan,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian hariannya. 

Dalam pada itu, pasaran saham Asia merudum didorong penurunan Wall Street memandangkan kes COVID-19 kian meningkat di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Sentimen itu dipengaruhi lagi oleh harapan suntikan fiskal di AS yang makin pudar.

Presiden AS, Donald Trump semalam meningkatkan saiz pakej rangsangan fiskal untuk meraih sokongan Republik dan Demokrat, dan ramai pelabur yang percaya tawaran itu tidak akan berlaku sebelum pilihan raya pada 3 November depan. 

“Terdapat sedikit kebimbangan dan apa yang kita lihat di Amerika dan Eropah berhubung virus itu dan bagaimana keadaan tersebut kembali memburuk,” kata penasihat pelaburan di Hamilton Hindin Greene, Grant Williamson menurut laporan Reuters.

Saham-saham berdepan cabaran untuk meraih keuntungan dalam dagangan awal di pasaran Asia dengan Australia jatuh 0.02% dan niaga hadapan Jepun melonjak hanya 0.06%.

Indeks niaga hadapan Hong Kong pula naik 0.36%. - DagangNews.com