KLCI ‘gigih’ lepasi paras 1,600 pagi ini | DagangNews Skip to main content

KLCI ‘gigih’ lepasi paras 1,600 pagi ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 April - Pasaran saham tempatan cuba melepasi paras rintangan, 1,600 dalam dagangan pagi ini selepas merosot lebih 10 mata ketika ditutup semalam. 

 

Setakat 9.01 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 2.32 mata atau 0.15% daripada paras yang ditutup semalam, 1,597.71 kepada 1,600.03.

 

Dagangan pada pagi ini juga berprestasi agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu, 185 mengatasi 103 jumlah kaunter rugi.

 

Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan menyaksikan pemburuan saham murah selepas indeks itu ditutup bawah paras 1,600 semalam. 

 

“Walaupun penyertaan pasaran mungkin terus suram, namun kami menjangkakan indeks itu didagangkan dalam jajaran 1,595 hingga 1,605 hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Di peringkat global, ekuiti Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras tinggi baharu setelah data inflasi yang dilaporkan di negara itu sejajar dengan jangkaan penganalisis. 

 

Namun, kata Rakuten Trade, keyakinan pelabur secara keseluruhannya masih lagi berhati-hati dengan pengedaran vaksin Johnson & Johnson terhenti seketika. 

 

“Dow Jones Industrial Average hilang 68 mata kepada 33,677, manakala S&P 500 menokok 14 mata untuk ditutup pada paras tinggi baharu iaitu, 4,141.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan bercampur-campur memandangkan sentimen dijangka berhati-hati hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com