Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Pasaran saham Malaysia berjaya dibuka lebih tinggi pada awal dagangan pagi ini selepas ditutup lama sehingga semalam (Isnin).
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 8.63 mata untuk mencecah 1,575.03 daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,566.40.
Kaunter untung pada awal pagi ini termasuk KESM Industries Berhad, Petronas Gas Berhad, Hartalega Holdings Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Top Glove Corporation Berhad, Genetec Technology Berhad, SKP Resources Berhad dan Tasco Berhad.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan melonjak semula pada hari ini selepas didagangkan tidak menentu pada Jumaat lalu.
“Ini memandangkan indeks itu berakhir pada 1,566 selepas hampir mencecah paras 1,600 pada sesi awal dagangan.
“Kami menjangkakan para pelabur akan memburu saham murah, sekali gus bakal menyaksikan FBM KLCI menguji paras 1,575 hari ini,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya.
Dalam pada itu, minyak sawit mentah pula kekal mengukuh dengan harga melonjak semula, sekali lagi menghampiri RM4,000 setiap tan metrik.
Di peringkat global, walaupun Wall Street ditutup lebih tinggi, namun ketidaktentuan masih membelenggu pasaran itu memandangkan sentimen dipengaruhi oleh kisah GameStop.
“DJI Average meningkat 229 mata untuk mencapai tahap tertinggi 30,000 tetapi masih ketinggalan 100 mata dari rekod yang tertinggi,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com