KLCI mulakan dagangan Mac dengan lonjakan sedikit | DagangNews Skip to main content

KLCI mulakan dagangan Mac dengan lonjakan sedikit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Pasaran ekuiti tempatan memulakan dagangan pada bulan ini dengan lonjakan yang sedikit didorong oleh kaunter tenaga dan utiliti. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok hanya 0.95 mata daripada paras yang ditutup pada minggu lalu, 1,577.75 kepada 1,578.70. 

 

Dagangan pagi ini menyaksikan sebanyak 323 kaunter untung mengatasi kaunter rugi, 279. 

 

Kaunter untung termasuk Hong Leong Industries Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, Latitude Tree Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), ViTrox Corporation Berhad, UMW Holdings Berhad, Petronas Gas Berhad dan Hong Leong Financial Group Berhad. 

 

Di peringkat pasaran Asia, saham-saham mengukuh pada hari ini memandangkan pasaran bon kembali tenang, sementara perkembangan dalam pakej rangsangan besar Amerika Syarikat (AS) menyokong keyakinan terhadap ekonomi global.

 

Menurut Reuters, indeks PMI pembuatan rasmi China keluar pada hujung minggu lalu tersasar daripada ramalan, tetapi pelabur mengharapkan berita yang lebih baik daripada sebilangan besar data AS yang akan dikeluarkan minggu ini termasuk laporan pekerjaan Februari.

 

Turut membantu sentimen adalah berita mengenai vaksin COVID-19 Johnson & Johnson yang baru diluluskan akan bermula pada hari Selasa, tambah Reuters. 

 

Indeks MSCI meningkat 0.1% selepas menyusut 3.7% pada Jumaat lalu.

 

Saham Jepun, Nikkei pula menokok 2.0%, sementara niaga hadapan Nasdaq dan S%P 500 masing-masing melantun sebanyak 0.8% dan 0.7%. - DagangNews.com