KLCI tersungkur lagi, saham Hartalega, Top Glove antara rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI tersungkur lagi, saham Hartalega, Top Glove antara rugi

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Dagangan minggu pertama Ogos berakhir lesu tanpa sebarang pemangkin di tengah-tengah jangkitan harian COVID-19 yang kekal tinggi selama 3 hari berturut-turut dan juga pergolakan politik tanah air.

 

Indeks utama FBM KLCI petang ini merosot kepada 1,489.80 mata setelah susut 5.98 mata atau 0.4% meskipun memulakan dagangan pagi setinggi 1,494.86 mata. 

 

Malaysia merekodkan kes harian tertinggi hari ini sebanyak 20,889 kes sejak wabak itu melanda negara sekitar Februari tahun lalu. 

 

Pada masa sama, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut melaporkan kes jangkitan global kini mencecah lebih 200 juta.

 

Bagi mengekang wabak itu, China turut mengambil langkah mengenakan semula sekatan untuk mengekang wabak itu dengan membatalkan perkhidmatan penerbangan dan keretapi.

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, kelemahan KLCI bagaimanapun bergerak seiring dengan pasaran serantau yang lain ekoran meningkatnya kebimbangan terhadap varian Delta boleh menggugat usaha pemulihan ekonomi sekali gus menjejaskan sentimen pelabur sepanjang hari ini.

 

"Oleh itu, pelabur akan terus memantau perkembangan kes jangkitan COVID-19 yang masih kekal tinggi dan tindakan tegas badan kawal selia China terhadap sektor pendidikan dan teknologi," katanya. 

 

Menutup dagangan petang ini, katanya, saham berkaitan sarung tangan getah kebanyakannya mendominasi kaunter rugi. 

 

Antaranya, Hartalega Holdings Bhd. susut 14 sen kepada RM6.63 diikuti Top Glove Corporation Bhd. menyusut 9 sen kepada RM3.68.

 

Sementara itu, indeks penjagaan kesihatan Bursa Malaysia mencatat kerugian terbesar selepas berakhir 1.2% lebih rendah. 

 

Bagi kaunter aktif, saham Dagang Nexchange Bhd. (DNeX) paling rancak diniagakan dengan 309.07 juta saham bertukar tangan berakhir 7 sen lebih tinggi kepada 82.5 sen. 

 

Ini diikuti Atta Global Bhd. menokok 13.5 sen kepada 18.5 sen dan Serba Dinamik Holdings meningkat 0.05 sen kepada 40 sen. 

 

Kaunter untung pula menyaksikan SAM Engineering & Equiment (M) Bhd. ditutup tinggi pada RM14.10 setelah menokok RM1.82. 

 

Saham Genetec Technology Bhd. juga ditutup tinggi dengan menokok RM1.30 kepada RM24.62 diikuti Kobay Technology Bhd. naik 72 sen kepada RM4.68. 

 

Saham Nestle Malaysia Bhd. pula dahului kaunter rugi dengan susut 80 sen kepada RM133.10 diikuti AEON Credit Service (M) Bhd susut 22 sen kepada RM11.68.

 

Secara keseluruhan, menyaksikan 4.3 bilion saham diniagakan bernilai RM2.53 bilion dengan kaunter untung hampir menyamai rugi pada 496 berbanding 495 manakala 431 kaunter tidak berubah.

 

Mengulas mengenai pasaran pada minggu hadapan, Adam berkata, pelabur akan tertumpu kepada prestasi ekonomi suku kedua yang akan dikeluarkan pada Jumaat setelah menyaksikan negara melalui perintah sekatan yang ketat dalam tempoh berkenaan.

 

"Sebarang perkembangan positif daripada data KDNK ini dilihat akan menyokong pasaran pada minggu hadapan.

 

"Kami menjangkan KLCI akan diniagakan dalam julat antara 1,490 hingga 1,500 mata memandangkan pelabur ternanti-nanti data berkenaan," katanya. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit berdepan tekanan di sebalik harga minyak mentah Brent yang sedikit kukuh hari ini ekoran peningkatan kes jangkitan COVID-19 membayangi prospek pertumbuhan ekonomi. 

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.2160/2190 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.2140/2190.

 

"Tanpa petunjuk kes jangkitan ini akan reda, kami mengunjurkan ringgit akan berdepan ketidaktentuan minggu hadapan, didagangkan antara RM4.22 hingga RM4.23 berbanding dolar AS," jelas Adam. - DagangNews.com