KLCI terus merosot menjelang Krismas | DagangNews Skip to main content

KLCI terus merosot menjelang Krismas

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Pasaran saham tempatan terus menunjukkan trend menurun menjelang musim perayaan Krismas pada Jumaat ini. 

 

Setakat 9 pagi, indeks FBM KLCI mencecah 1,650.33, merosot 2.16 mata atau 0.13% daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,652.49.

 

Aktiviti dagangan pada minggu ini dijangka ‘menarik nafas’ seketika dengan para pelabur mengambil keuntungan singkat menjelang perayaan itu. 

 

“Minggu lalu menyaksikan indeks FBM KLCI merosot akibat pengambilan untung memandangkan berita mengenai penjualan singkat terkawal bakal ditamatkan telah menjejaskan sentimen. 

 

“Namun, kami merasakan kesannya minimum kerana penjualan singkat harian masih tidak dibenarkan dan dilanjutkan hingga 28 Februari 2021, kami lihat terdapat peluang membeli dan mengesyorkan untuk membeli saham lemah dan merosot,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya. 

 

Menurut Reuters, saham-saham dalam pasaran Asia didagangkan mendatar hari ini susulan pelabur meletakkan sentimen berhati-hati terhadap pakej rangsangan di Amerika Syarikat (AS). 

 

Pakej rangsangan itu masih berlanjutan sejak sebelum pilihan raya presiden di negara itu lagi yang menjadi antara pendorong utama kepada pergerakan pasaran global. 

 

Dalam masa sama, rundingan Brexit terus tiada penghujungnya dengan tiada perjanjian yang dilihat dapat dicapai dalam masa terdekat. 

 

Laporan berita yang menyaksikan niaga hadapan S&P 500 melonjak pada awalnya, mula mendatar.

 

Indeks MCSI pula merosot selepas mencecah paras tertinggi. 

 

Namun, Nikkei di Jepun menokok 0.5% ke paras tertinggi sejak April 1991.

 

Para penganalisis di BofA melaporkan terdapat sejumlah AS$46.4 bilion aliran masuk ekuiti pada minggu lalu.

 

Pada tempoh sama juga menyaksikan aliran keluar terbesar sepanjang empat bulan yang lalu.

 

Aliran masuk dilaburkan ke dalam saham-saham teknologi, manakala sektor pengguna, penjagaan kesihatan, kewangan, hartanah dan nilai menyaksikan aliran keluar. - DagangNews.com