KLCI terus merosot, sebaliknya saham Tanco, Scanwolf, Euro, TFP rancak diniagakan pagi ini | DagangNews Skip to main content

KLCI terus merosot, sebaliknya saham Tanco, Scanwolf, Euro, TFP rancak diniagakan pagi ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - 'Terkejut' dengan apa yang menimpa keadaaan politik semalam, menyebabkan pasaran tempatan memulakan dagangan lemah pagi ini menghampiri paras 1,500 mata.

 

Setakat 9.20 pagi ini, indeks utama susut 9.94 mata kepada 1,503.49 mata dengan 191.97 juta saham diniagakan bernilai RM103 juta. 

 

Kestabilan politik di dalam negara semakin membimbangkan apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan dukacita terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung Ordinan Darurat.

 

Inter-Pacific Research berkata, indeks utama terus merosot apabila keyakinan pasaran terjejas dengan perkembangan terbaharu politik tanah air, di samping situasi semasa pandemik COVID-19.

 

"Pada masa sama, pasaran yang lebih luas juga tidak stabil, menyebabkan berlakunya aktiviti pengambilan untung dan menyaksikan pasaran kekal negatif.

 

"Oleh itu, indeks utama dalam tempoh terdekat masih tidak menentu, disebabkan situasi politik dan situasi pandemik yang berlarutan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pagi ini menyaksikan 340 kaunter rugi mengatasi untung pada 181 manakala 349 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi kaunter aktif, saham Tanco Holdings Bhd. mendahului dagangan dengan menokok 0.02 sen kepada 23 sen 41.17 juta saham diniagakan.

 

Ini diikuti saham Scanwolf Corp. Bhd. meningkat 0.07 sen kepada 49 sen, Euro Holdings Bhd. naik 0.03 sen kepada 90 sen dan TFP Solutions Bhd. naik 0.005 sen kepada 18.5 sen. 

 

Sebaliknya, Serba Dinamik Holdings pula diniagakan rendah pada 40.5 sen setelah susut 0.005 sen diikuti PUC Bhd susut 0.005 sen kepada 18.5 sen. 

 

Dagangan kaunter untung pula didahului dengan saham Nestle (Malaysia) Bhd. menokok 40 sen kepada RM133 diikuti Fraser & Neave (F&N) Holdings Bhd. naik 28 sen kepada RM25.08. 

 

Bagi kaunter rugi pula, saham Carlsberg Brewery Malaysia Bhd. mendahului dagangan dengan susut 12 sen kepada RM21.2 diikuti Unisem (M) Bhd. susut 11 sen kepada RM8.12. 

 

Selain itu, saham berkaitan sarung tangan getah mencatat kerugian pagi ini dengan Hartalega Holdings Bhd. susut 0.05 sen kepada RM7.10 diikuti Top Glove Corp. Bhd. susut 0.05 sen kepada RM3.92 dan Kossan Rubber Industries Bhd. susut 0.05 sen kepada RM3.34. 

 

Bloomberg melaporkan niaga hadapan ekuiti AS semakin menurun manakala saham Asia stabil pada awal pagi ini pada ketika para peniaga menimbang risiko pendapatan dan teknologi ekoran tindakan keras China terhadap industri swasta. - DagangNews.com