KUALA LUMPUR 16 Ogos - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dinobatkan antara lapangan terbang terbaik dunia, menerusi tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) terkini untuk suku kedua tahun ini (S2 2022).
Kedua-dua lapangan terbang itu mencapai skor sempurna 5.00 dalam tinjauan global Majlis Lapangan Antarabangsa (ACI) yang mengukur kepuasan penumpang keseluruhan untuk keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.
KLIA berkongsi pencapaian itu dengan 7 lapangan terbang lain dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa).
Bagi LGK, ia merupakan satu-satunya lapangan terbang yang mendapat mata penuh dalam kategori 2-5 mppa. Melalui pencapaian ini, Malaysia Airports terus menunjukkan komitmennya dalam memastikan perkhidmatan dan operasi memenuhi piawaian global.
Bagi Julai 2022, Kumpulan Malaysia Airports mencatatkan sejumlah 7.8 juta pergerakan penumpang, dengan 4.8 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatan dan 3.0 juta di lapangan terbang Turkinya, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, ia lebih mencabar untuk terus mengekalkan pengalaman penumpang yang hebat kerana dengan mengalu-alukan lebih ramai penumpang di lapangan terbang.
"Tetapi kami tidak akan goyah dalam komitmen kami untuk berbuat demikian. Keputusan ASQ terkini adalah manifestasi komitmen ini, bukan sahaja dari Malaysia Airports tetapi seluruh komuniti lapangan terbang.
"Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa untuk KLIA, tiga pujian teratas yang diterima melalui tinjauan ASQ adalah berkaitan dengan proses yang lancar, bantuan di lapangan dan daftar masuk pantas di kaunter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bulan lepas, kumpulan merekodkan 3.1 juta pergerakan domestik dan 1.6 juta antarabangsa di Malaysia. Yang terakhir ini menyaksikan peningkatan yang menggalakkan sebanyak 26% daripada bulan sebelumnya.
Sehingga kini, kedua-dua sektor telah menunjukkan aliran pemulihan yang meningkat dengan trafik domestik mencecah 66% dan antarabangsa, 18% daripada volum sebelum COVID-19. - DagangNews.com