KLK ambil alih lebih 90% pegangan dalam 2 syarikat minyak sawit Indonesia berharga RM276.55 juta | DagangNews Skip to main content

KLK ambil alih lebih 90% pegangan dalam 2 syarikat minyak sawit Indonesia berharga RM276.55 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dan anak syarikat milik penuhnya yang diperbadankan di Singapura, KLK Plantations and Trading Pte. Ltd. bercadang mengambil alih lebih 90% pegangan dalam dua syarikat minyak sawit Indonesia berharga RM276.55 juta.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, KLK telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan unit milik penuh Batu Kawan Berhad, Whitmore Holdings Sdn Bhd.

 

Batu Kawan merupakan syarikat induk KLK dengan 47.72% kepentingan.

 

Kumpulan itu memperoleh 92% pegangan dalam PT Satu Sembilan Delapan (SSD) dengan harga RM264.1 juta dan 90% pegangan dalam PT Tekukur Indah (TI) dengan harga RM12.42 juta.

 

"Ladang-ladang di bawah SSD dan TI telah diuruskan oleh KLK sejak mula beroperasi dan kumpulan itu mempunyai pengetahuan yang baik tentang hartanah ini dan potensi ekonominya," kata syarikat itu.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka memperkemas dan menyatukan ladang ladang kumpulan yang lebih besar di bawah KLK.

 

“Ia akan menjadi sumber bahan mentah untuk kilang penapisan dan oleo KLK yang akan datang di Kalimantan Timur kerana berdekatan,” katanya.

 

KLK juga merancang untuk membiayai cadangan pemerolehan itu dengan rizab tunai sedia ada.

 

Sehingga 30 September 2023, KLK mempunyai rizab tunai sebanyak RM2.38 bilion dengan jumlah aset RM30.13 bilion.

 

Cadangan pengambilalihan itu akan siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.- DagangNews.com