KLK, Boustead dan LTAT setuju jadikan 22 September sebagai tarikh akhir bagi perjanjian kerjasama strategik | DagangNews Skip to main content

KLK, Boustead dan LTAT setuju jadikan 22 September sebagai tarikh akhir bagi perjanjian kerjasama strategik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) bersetuju dengan Boustead Holdings Berhad dan syarikat induknya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk menjadikan 22 September ini sebagai tarikh akhir perjanjian kerjasama strategik (SCA) melibatkan Boustead Plantations Berhad.

 

KLK dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, semua peruntukan lain yang terkandung dalam SCA akan kekal tidak berubah dan berkuat kuasa sepenuhnya.

 

Pada 24 Ogos lalu, KLK mengumumkan cadangannya untuk memperoleh 739.2 juta saham dalam Boustead Plantation, mewakili 33% dan satu saham daripada jumlah saham terbitan cabang perladangan daripada Boustead.

 

Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi dan minyak sawit mentah (MSM) Boustead Plantations dalam jangka panjang.

 

BACA JUGA: KLK cadang ambil alih 33% pegangan dalam Boustead Plantations berharga RM1.15 bilion

 

KLK dan Boustead Plantations terlibat dalam perniagaan perladangan kelapa sawit dan terdedah kepada risiko biasa dalam sektor perladangan kelapa sawit seperti perubahan harga MSM, perubahan permintaan global untuk minyak dan lemak yang boleh dimakan.

 

Selain itu mereka juga berdepan risiko keadaan iklim yang buruk, perubahan undang-undang dan peraturan cukai, perkembangan keadaan politik, ekonomi, kawal selia dan sosial pasaran eksport utama, turun naik dalam kadar pertukaran wang asing, kekurangan bekalan buruh serta peningkatan dalam kos buruh dan/atau pengeluaran lain.

 

Cadangan kerjasama strategik itu juga berpotensi mendedahkan KLK kepada risiko yang berkaitan dengan penyepaduan perniagaan Boustead Plantations seperti fungsi perniagaan bertindih, pengurangan tenaga kerja dan komplikasi dalam penyepaduan teknologi maklumat dan sistem operasi lain.

 

Cadangan pengambilalihan itu adalah pada harga RM1.15 bilion atau RM1.55 sesaham.

 

Perjanjian itu dijangka sempurna sepnuhnya pada suku keempat 2023. - DagangNews.com