Kolej Universiti KPJ Healthcare terima penarafan sebagai universiti penuh | DagangNews Skip to main content

Kolej Universiti KPJ Healthcare terima penarafan sebagai universiti penuh

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC), institusi pendidikan premier di bawah naungan KPJ Healthcare Bhd menerima penarafan sebagai universiti penuh yang dikenali sebagai Universiti KPJ Healthcare (KPJU).

 

Pengerusi KPJU, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pencapaian ini didorong aspirasi bersama KPJ Healthcare dan KPJU ke arah menjadi pusat kesihatan akademik yang bereputasi global, seterusnya mengukuhkan komitmen bersama terhadap penyelidikan, pembangunan, dan menerajui kemajuan positif dalam sektor penjagaan kesihatan negara.

 

Beliau berkata, dengan rangkaian 29 hospital KPJ di seluruh negara, gabungan strategik antara KPJU dan Hospital KPJ membuka tirai kepada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan akademik bersepadu. 

 

Katanya, pendekatan inovatif ini bertujuan untuk meningkatkan penjagaan pesakit dan pengalaman keseluruhan mereka, mencerminkan amalan terbaik global bagi kualiti akademik dalam penjagaan kesihatan.

 

"Titik permulaan awal kami sebagai institusi swasta pertama yang menawarkan diploma kejururawatan pada tahun 1991, kepada pengiktirafan penting ini sebagai sebuah universiti, adalah bukti komitmen kami untuk menghasilkan impak transformatif dalam mentakrifkan semula penjagaan kesihatan, dan semuanya bermula dengan mengukuhkan pendidikan penjagaan kesihatan.

 

"Pencapaian ini menandakan aras tanda dan dimensi baharu bagi kami, fasa yang memerlukan komitmen yang diperbaharui untuk terus mengejar kecemerlangan akademik dan inovasi penyelidikan. 

 

"Dalam kami melaksanakan transformasi ini, kami bukan sekadar menambah baik diri kami, kami turut mentakrifkan standard baharu untuk pendidikan perubatan di Malaysia dan seterusnya," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

kpj
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) menyerahkan Surat Rasmi Kelulusan Naik Taraf Universiti kepada Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim (tiga, kiri). Turut kelihatan, Datuk Md Arif Mahmood (kiri), Naib Canselor KPJU, Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim (dua, kiri) dan Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah (kanan).

 

 

Terdahulu, pihaknya menerima Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menganugerahkan Surat Rasmi Kelulusan Naik Taraf Universiti kepada KPJ Healthcare dalam satu majlis di Putrajaya hari ini.

 

Turut hadir, Canselor KPJU, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah; Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md Arif Mahmood.

 

Menurut Syed Mohamed, pihaknya juga menyedari peri pentingnya untuk bukan sahaja menyesuaikan diri dengan perubahan ini tetapi juga memanfaatkan peluang yang ditawarkan. 

 

Untuk mencapai matlamat ini, mereka merancang untuk memanfaatkan faedah sinergi yang wujud dalam ekosistem perniagaan kumpulan KPJ. 

 

"Penyepaduan kami dengan rangkaian KPJ Healthcare akan memupuk inovasi, menggalakkan pembelajaran antara disiplin dan memudahkan pendedahan dunia sebenar untuk pelajar kami. Kami akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan, berpandukan dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kualiti, integriti dan inovasi," katanya. - DagangNews.com