Kontrak pembinaan diperoleh Comintel disemak semula kepada RM260 juta | DagangNews Skip to main content

Kontrak pembinaan diperoleh Comintel disemak semula kepada RM260 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Kontrak pembinaan pangsapuri mampu milik di Kuala Lumpur yang diperoleh Comintel Corporation Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn. Bhd. disemak semula kepada RM260 juta.

 

Kumpulan menerima surat anugerah yang disemak semula itu bertarikh 31 Julai 2023 daripada Binastra Construction (M) Sdn. Bhd. dengan nilai kontrak sebelum ini (bertarikh 27 Mei 2021 dan 30 Mei 2022) berjumlah RM122.6juta.

 

Menurut Comintel, kontrak itu membabitkan pembinaan konkrit tetulang lima blok pangsapuri di PT 50021 (sebelum ini Lot 36191), Jalan Tasik Selatan, Mukim Petaling, Kuala Lumpur. 

 

"Semakan semula kontrak itu adalah disebabkan skop kerja yang ditawarkan adalah lebih luas berbanding kontrak awal yang ditawarkan pada 30 Mei 2022 melibatkan pangsapuri mampu milik di bawah skim perumahan 'Satu Anggota Satu Rumah' Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

"Kerja-kerja kontrak itu sudah dimulakan pada Mac 2022 dan dijangka siap pada 31 Mac 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontrak itu dijangka memberi pendapatan tambahan kepada kumpulan untuk tempoh tiga tahun kewangan.

 

Kontrak itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 hingga 2026. - DagangNews.com