KPDNHEP akan hantar bekalan ayam ke kawasan terjejas | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP akan hantar bekalan ayam ke kawasan terjejas

KUALA BERANG 21 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menghantar bekalan ayam yang ada di pasaran untuk negeri yang berdepan kekurangan bekalan sebagai alternatif penyelesaian jangka masa pendek.

 

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu diharap dapat meredakan keresahan pengguna berikutan kekurangan bekalan ayam di beberapa negeri akibat penutupan ladang ternakan oleh beberapa syarikat.

 

"Alternatif ini akan digerakkan mengikut kapasiti kemampuan KPDNHEP untuk mengenal pasti mana kawasan yang terjejas teruk. Contohnya, (jika) kekurangan berlaku di Perlis, kita akan tampung dengan lebihan ayam yang ada di Pulau Pinang.

 

"Sebenarnya, berdasarkan laporan yang kita terima daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, jumlah pengeluaran ayam adalah sekitar 66 juta ekor sebulan, berbanding kadar penggunaan sekitar 60 juta untuk permintaan biasa, dan untuk musim perayaan jumlah permintaan meningkat sedikit," katanya. 

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia, lapor Bernama hari ini.

 

Mengenai penutupan beberapa ladang ayam selepas dipercayai berdepan masalah tumbesaran dan penyakit, Rosol berkata pegawai penguat kuasa kementerian sudah memantau dan menjalankan siasatan terperinci di ladang terbabit. 

 

"Kita tidak semata-mata menerima surat daripada syarikat penternakan terbabit, sebaliknya turun padang untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai masalah yang diutarakan.

 

"Pegawai pergi dan lihat sendiri malah laporan bergambar juga ada dan terbukti memang ayam berpenyakit...beratnya pula hanya sekitar satu hingga 1.2 kilogram dan tidak sesuai dibekalkan untuk pasaran tempatan," katanya.

 

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sekiranya ada berlaku manipulasi bekalan untuk mengganggu kestabilan bekalan di pasaran. - DagangNews.com