Sekadar gambar hiasan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur ayam di pasaran masih mencukupi.
Bahagian Penguat Kuasa KPDNEHP menjelaskan, beberapa tindakan proaktif telah dilaksanakan oleh kementerian itu termasuk memantau keberadaan bekalan ayam dan telur ayam, menjalinkan kerjasama dengan agensi lain serta menjalankan pemeriksaan secara berkala di peringkat penternak, pemborong dan peruncit.
“Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan bekalan secara berkala ke atas 20 syarikat pengeluar ayam yang mewakili 1,028 ladang bermula 22 September 2020 dan pemantauan bekalan ke atas 50 syarikat pengeluar telur ayam yang mewakili 101 ladang bermula awal Mei 2020 bagi melihat kedudukan bekalan ayam dan telur ayam di seluruh negara.
“Dianggarkan pengeluaran bekalan bagi ayam oleh pihak penternak di pasaran pada bulan Oktober 2021 adalah sebanyak 64.9 juta ekor sebulan manakala anggaran pengeluaran bekalan bagi telur ayam adalah melebihi 1 bilion biji sebulan. Berdasarkan data tersebut, pengeluaran ayam dan telur ayam adalah mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan pengguna.
“Selain itu, KPDNHEP juga sentiasa menjalankan pemeriksaan berkaitan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 1,039 pemborong terpilih daerah (DDW) secara harian yang meliputi 222 Parlimen dan 576 DUN di seluruh Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu mengulas mengenai laporan oleh akhbar dan media sosial berhubung peningkatan permintaan ke atas ayam dan telur ayam di pasaran berikutan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Susulan daripada pewartaan ayam dan telur ayam sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, KPDNHEP berperanan memastikan bekalan tersebut sentiasa stabil, mencukupi serta mudah diperolehi oleh pengguna pada harga yang munasabah di pasaran.
Sehubungan itu, KPDNHEP mengingatkan peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran dan pengedaran ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna.
Kementerian itu menegaskan bahawa individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitannya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Sekiranya disabitkan kesalahan, peniaga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. - DagangNews.com