KPDNHEP gantung lesen, tarik kuota syarikat seleweng barang kawalan, subsidi | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP gantung lesen, tarik kuota syarikat seleweng barang kawalan, subsidi

SEPASUKAN Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan bersama Pasukan Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor dan Pasukan Gerak Am PDRM Batalion 8 telah membuat serbuan ke atas sebuah stor penyimpanan di Pasir Mas, Kelantan. - Gambar Fail oleh KPDNHEP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggantung dan menarik semula kuota barang subsidi seperti minyak masak dan lesen gas petroleum cecair (LPG) dari syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan subsidi sementara siasatan lanjut dijalankan. 

 

Ini selepas kementerian itu berjaya membanteras beberapa aktiviti penyelewengan yang melibatkan perpindahan minyak masak bersubsidi paket polibeg 1kilogram (kg) ke botol 2kg, 3kg dan 5kg atau perpindahan LPG bersubsidi dari tong 14kg ke tong kegunaan industri untuk dijual pada harga pasaran dengan keuntungan yang tinggi atau diseludup ke negara jiran.

 

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi), Bahagian Penguat Kuasa Tindakan KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil  berkata, ini perlu sebagai langkah pencegahan serta peringatan kepada syarikat-syarikat pembungkus dan pemborong supaya tidak terlibat dalam kes seumpama itu. 

 

“Sehingga kini sebanyak 25 buah syarikat telah digantung atau ditarik balik kuota melibatkan barang kawalan minyak masak. 

 

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 21, AKB 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) PPKB 1974 kerana berurusan secara mengilang atau borong atau runcit, kesalahan lain termasuk di bawah Seksyen 20(1) membabitkan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi paket 1 kg di tempat yang tidak dilesenkan juga turut disiasat. 

 

“Di samping itu, siasatan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) iaitu kesalahan pengubahan wang haram turut juga dijalankan bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutama melibatkan minyak masak dan LPG,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jika didapati bersalah, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

 

Jelas Shamsul Nizam, jenayah sebegini memberi impak yang besar kepada bekalan barangan tersebut di pasaran untuk kegunaan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama menyebabkan kerajaan menanggung kerugian berjuta ringgit dalam peruntukan subsidi khusus untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

 

Mereka yang didapati bersalah juga boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, tegas beliau.

 

Syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

 

“KPDNHEP memandang amat serius terhadap mana-mana syarikat yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan seumpama itu terutama syarikat-syarikat yang diberi lesen dan kuota untuk pembungkusan dan pembotolan barang kawalan dan subsidi,” ujar  Shamsul Nizam lanjut. - DagangNews.com