KPDNHEP lanjut pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2022 hingga 10 Mei | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP lanjut pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2022 hingga 10 Mei

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melanjutkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2022 sehingga 10 Mei ini.

 

SHMMP Aidilfitri 2022 yang bermula 26 April lalu sepatutnya berakhir pada 6 Mei namun dilanjutkan bagi memenuhi permintaan orang ramai.

 

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan seluruh Keluarga Malaysia berbilang kaum menikmati kemudahan diberikan dan dapat meneruskan tradisi kunjung-mengunjung serta rumah terbuka dalam suasana harmoni serta selamat.

 

Beliau berkata, pihaknya sudah memeriksa 6,702 premis perniagaan pada peringkat borong dan runcit sejak pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2022 bermula 26 April lalu.

 

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 10 kes dikesan melanggar perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

 

"Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh SHMMP Aidilfitri 2022 selama empat hari lagi bagi memudahkan seluruh Keluarga Malaysia menikmati kemudahan disediakan pada musim perayaan ini.

 

"Setakat ini, kita mengesan 10 kes kesalahan membabitkan kegagalan mematuhi keperluan tanda harga dan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

 

Azman berkata, selain itu, penentuan harga maksimum ayam dan telur akan terus berkuat kuasa sehingga 5 Jun ini.

 

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.

 

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan aduan jika ada peniaga menyalahi undang-undang melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP," katanya. - DagangNews.com