KUALA LUMPUR 27 Okt - KPJ Healthcare melaksanakan beberapa langkah pembaharuan secara agresif bagi memastikannya kembali pulih di sebalik perubahan kepimpinannya sejak dua tahun lalu.
Maybank Investment Bank (IB) mendapati di bawah dua pengarah urusan sebelum ini, pihak pengurusan telah bekerja keras bagi menyediakan sistem pusat peringkat kumpulan untuk pemerolehan bekalan perubatannya.
Firma itu menyifatkan perubahan struktur tersebut adalah penting memandangkan bekalan perubatan KPJ menyumbang hasil sebanyak 31% hingga 32% pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY19) hingga FY21, adalah antara yang tertinggi berbanding purata pemain industri di peringkat serantau kira-kira 21%.
Ia juga mencerminkan margin pracukai KPJ yang rendah sebanyak 7% pada FY19 hingga FY21 berbanding purata pemain industri lain sebanyak 13%.
"Kami memahami bahawa KPJ masih di peringkat permulaan untuk melaksanakan sistem perolehan pusat ini, dan melihat terdapat peningkatan yang kukuh kepada pengembangan marginnya dalam jangka sederhana," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 5 September lalu, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Presiden dan Pengarah Urusan KPJ selepas 5 bulan selepas memegang jawatan itu pada 1 April lalu.
Mohd. Shukrie adalah pengganti Ahmad Shahizam Mohd. Shariff yang dilantik sebagai Pengarah Urusan pada 9 Julai 2020, sebelum meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 31 Mac lalu.
Sebelum itu, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkhidmat sebagai Presiden dan Pengarah Urusan dari 1 Januari 2013 hingga 1 Julai 2020.
Maybank IB berkata, walaupun pengurusan kumpulan bertukar ganti, KPJ tetap kekal teguh berada pada landasan untuk menubuhkan lebih banyak hospital dan Pusat Jagaan Ambulatori (ACC) peringkat kuaternari untuk memacu kehadiran pesakit dan intensiti hasil.
Menurutnya, berdasarkan pihak pengurusan, KPJ boleh mengenakan caj sehingga lebih 25% untuk pesakit asing bagi rawatan yang serupa.
"Dengan kira-kira 5% daripada jumlah hasil, pelancongan kesihatan adalah segmen 'wildcard' untuk pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan.
"Hospital Damansara II Specialist baharunya juga boleh membantu dalam meningkatkan jenama dan keupayaan KPJ dalam kalangan pelancong kesihatan dengan melaksanakan operasi yang lebih digital," jelasnya.
Malah, firma itu berkata, pengembangan kapasiti katil dalam jangka masa terdekat juga akan disumbangkan menerusi KPJ Puteri sebanyak 167 katil, KPJ Pulau Pinang (151 katil) dan Damansara II Specialist (297 katil), dengan beberapa daripadanya sedang menunggu kelulusan Kementerian Kesihatan untuk memulakan operasi.
"Daripada 3,500 katil yang beroperasi pada akhir separuh kedua 2022, kami menjangkakan peningkatan tahunan sebanyak 150 katil.
"Mengikut pengurusan, beberapa hospital matang KPJ telah mencapai tahap kadar penghunian katil (BOR) yang menggalakkan iaitu lebih 60%, yang mungkin memerlukan pengembangan kapasiti seterusnya," katanya.
Untung bersih KPJ melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM27.09 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM6.96 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM707.57 juta daripada RM632.83 juta.
Dalam tempoh berkenaan, lawatan pesakit dan BOR masing-masing meningkat kepada 802,840 dan 51% daripada 758,629 dan 41% berbanding tempoh sama pada 2021.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap KPJ dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.01 sesaham.
Setakat 10.30 pagi, harga sahamnya menokok 1.5 sen atau 1.88% kepada 81.5 sen dengan 93,500 saham diniagakan. - DagangNews.com