KPJ Healthcare dijangka catat peningkatan pendapatan pada kadar lebih pantas pada FY24, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare dijangka catat peningkatan pendapatan pada kadar lebih pantas pada FY24, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Feb - MIDF Research menjangkakan pendapatan KPJ Healthcare Bhd terus mencatatkan peningkatan pendapatan pada kadar lebih pantas pada FY24 selaras dengan pertambahan permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan daripada populasi yang semakin tua.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia juga didorong hasil yang lebih tinggi untuk pelancongan perubatan yang diterjemahkan kepada kadar penggunaan katil (BOR) yang lebih tinggi serta peningkatan lawatan pesakit serta permintaan rawatan dan pembedahan elektif yang semakin meningkat.
 

Katanya, antara pemacu lain kepada prestasi FY24 kumpulan perubatan itu termasuk Belanjawan 2024 dan belanjawan negeri yang lebih memberi fokus kepada sektor pernjagaan kesihatan, peningkatan perkhidmatan serta perundingan perubatan selaras dengan pengembangan hospitalnya.

 

"Kami juga menganggarkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 10 tahun populasi warga tua di Malaysia ada sebanyak 4.5% selain pelancongan perubatan akan menyumbang lebih RM2 bilion pada tahun ini.

 

"Kami positif terhadap prospek KPJ pada FY24 beradasarkan fokus utamanya kepada operasi hospital di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN:  KPJ Healthcare catat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM73.39 juta pada Q4 

 

Terdahulu, pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023, KPJ mencatatkan keuntungan bersih RM73.39 juta, berbanding RM63.41 juta pada suku yang sama pada 2022.

 

Hasil, sementara itu, lebih tinggi pada RM911.46 juta berbanding RM765.83 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Memandangkan pendapatan 4QFY23 adalah selaras dengan jangkaan, MIDF Research menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 9% dan 1% sebagai tambahan kepada penilaian pihaknya bagi keputusan FY23.

 

Firma penyelidikan itu percaya, dengan pembukaan Hospital KPJ Damansara 2, ia akan mendorong kepada trajektori positif kumpulan itu.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pelupusan operasi kumpulan di Indonesia termasuk keseluruhan kepentingan ekuiti dalam dalam PT Al-Aqar Permata Hijau, 80% kepentingan dalam PT Khidmat Perawatan Jasa Medika, keseluruhan kepentingan ekuiti dalam PT Al-Aqar Bumi Serpong Damai  (PTABSD) dan 75% kepentingan ekuiti dalam PT KPJ Medica (PTKM) berjaya diselesaikan pada FY23.

 

Katanya, menerusi pelupusan itu, KPJ mendapat balasan tunai sebanyak RM22.4 juta daripada pelupusan PTAPH dan PTKPJM, dan RM13.7 juta daripada pelupusan PTABSD dan PTKM.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM2.30 berbanding RM2.12 sesaham," katanya. - DagangNews.com