KPJ Healthcare lantik Dr. Nik Fawaz sebagai Ketua Pegawai Komersial  | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare lantik Dr. Nik Fawaz sebagai Ketua Pegawai Komersial 

Dr. Nik Fawaz Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR 16 Ogos – KPJ Healthcare Bhd. melantik Dr. Nik Fawaz Nik Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Komersial berkuat kuasa 15 Ogos 2022, bagi menggantikan Nik Izhar Nik Mohammed, yang berundur daripada jawatan tersebut untuk meneroka peluang lain.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, lembaga pengarah mengalu-alukan penyertaan Dr. Nik Fawaz dan yakin pimpinan beliau dalam menerajui strategi transformasi keseluruhan komersial KPJ Healthcare.

 

Katanya, strategi itu merupakan sebahagian daripada fasa seterusnya dalam pertumbuhan strategik, akan menjadi contoh kepada semua. 

 

"Kepakaran Dr. Nik Fawaz yang terbukti dan pengalaman meluas dalam industri penjagaan kesihatan dan segmen penyelesaian digital akan membantu kumpulan mengorak langkah yang lebih jauh untuk masa hadapan penjagaan kesihatan digital di KPJ Healthcare," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebelum menyertai KPJ Healthcare, Dr. Nik Fawaz adalah Ketua Edgenta Healthcare Solutions dan
Pengarah Urusan Edgenta Mediserve Sdn. Bhd.

 

Berbekalkan pengalaman selama 16 tahun dalam penjagaan kesihatan, transformasi dan perkhidmatan hospital di peringkat tempatan dan antarabangsa, beliau mengetuai transformasi hospital ternama dan beberapa operasi bersepadu, di mana beliau memainkan peranan penting dalam meningkatkan skala operasi dan memajukan pembangunan penjagaan kesihatan digital. 

 

Beliau telah mengetuai penyepaduan operasi hospital komersial dan konsesi serta menerajui inisiatif penjagaan kesihatan digital merentasi seluruh perniagaan sokongan penjagaan kesihatan UEM Edgenta Berhad, di samping memainkan peranan penting dalam penerokaan perniagaan di Arab Saudi.

 

Selain itu, Dr. Nik Fawaz sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (CVSKL) yang mana beliau mengasaskan dan menubuhkan hospital khusus untuk pesakit jantung dan vaskular, di bawah naungan TE Asia Healthcare.

 

Sepanjang kerjayanya, Dr. Nik Fawaz telah memegang pelbagai peranan kepimpinan, termasuk Ketua Hal Ehwal Perubatan dan Kualiti, Operasi Parkway Pantai-Malaysia (anak syarikat IHH Healthcare Bhd.), Ketua Pegawai Operasi Hospital Pantai Batu Pahat, Ketua Unit Pembangunan Perniagaan, Pengimejan dan Kemudahan serta Penyelenggaraan, Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Ketua Pembangunan Perniagaan, Prince Court Medical Centre Sdn. Bhd.- DagangNews.com