KPJ Kuching lakar sejarah lakukan 205 pembedahan lutut secara robotik | DagangNews Skip to main content

KPJ Kuching lakar sejarah lakukan 205 pembedahan lutut secara robotik

KUCHING 29 Mac - Hospital Pakar KPJ Kuching melakar sejarah tersendiri dengan menyempurnakan pembedahan penggantian sendi lutut ke-205 secara robotik menggunakan sistem teknologi pembantu pembedahan robotik (ROSA).

 

Dengan menggunakan teknologi ROSA, ia membantu mempercepatkan masa pemulihan sekali gus meningkatkan kadar kesembuhan pesakit, kata KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini.

 

"Sejak teknologi ini digunakan pada Ogos tahun lepas hingga Februari tahun ini, bilangan pembedahan penggantian sendi lutut telah mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 28.7 peratus berbanding tempoh masa sama, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 358 prosedur.

 

 

 

 

"Integrasi teknologi ROSA bukan sahaja dapat meningkatkan ketepatan dalam pembedahan malah meningkatkan pengalaman pemulihan bagi para pesakit sekali gus memberikan keyakinan serta kepuasan yang tinggi dalam kalangan mereka," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan adalah bukti hospital pakar KPJ berdedikasi dalam melaksanakan sistem perubatan berteknologi tinggi dan memberikan penjagaan kesihatan yang mengutamakan pesakit.

 

"Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan komitmen KPJ Healthcare dalam mengadaptasikan penggunaan teknologi inovatif yang mampu meningkatkan kadar kesembuhan pesakit dan kecekapan operasi dalam rangkaian hospitalnya, bahkan berjaya menempa sejarah penting dalam sektor penjagaan kesihatan di Kepulauan Borneo," kata KPJ. 

 

 

kpj

 

kpj
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama Dr Lee Woo Guan (kanan) pada majlis khas di KPJ Kuching pada 28 Mac 2024

 

 

Sementara itu, pencapaian Hospital Pakar KPJ Kuching menggunakan sistem ROSA mencerminkan keupayaan Sarawak untuk menjadi hab penjagaan kesihatan serantau, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

 

Beliau menganggap kejayaan pakar ortopedik dan pakar bedah KPJ Kuching Dr Lee Woo Guan sebagai bukti bahawa negeri itu berpotensi untuk memanfaatkan sistem teknologi perubatan termaju.

 

“Kejayaan sedemikian telah memberi peluang besar kepada Sarawak untuk membangunkan sektor penjagaan kesihatannya walaupun menghadapi halangan besar dalam penjagaan kesihatan awamnya.

 

“Impak teknologi ROSA ke atas pembedahan ortopedik, terutamanya dalam prosedur penggantian lutut total di negeri kita, tidak boleh dipertikaikan.

 

“Pencapaian luar biasa ini, yang diketuai oleh tangan mahir Dr Lee Woo Guan, benar-benar memberi inspirasi dalam merevolusikan penjagaan pesakit dengan menggunakan teknologi Rosa yang inovatif, bukti dedikasi KPJ Kuching yang tidak berbelah bahagi untuk menolak sempadan kecemerlangan penjagaan kesihatan di Borneo,” katanya. .

 

Dr Sim berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘200 Leaps, A Million Smiles’ di KPJ Kuching pada Khamis, yang diadakan sempena kejayaan hospital itu dalam memanfaatkan teknologi ROSA.

 

Selain itu, Dr Sim menjelaskan bahawa integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam perkhidmatan perubatan akan membolehkan pakar bedah melakukan tugas mudah menggunakan robot. - DagangNews.com