KPKT rancang guna instrumen baharu untuk pengurusan sisa pepejal | DagangNews Skip to main content

KPKT rancang guna instrumen baharu untuk pengurusan sisa pepejal

Kamaruzaman Umar (kiri) bersama Pauline Goh (kanan) ketika majlis menandatangani MoU antara KPKT dan MAREA yang turut disaksikan Datuk M Noor Azman Taib (dua dari kanan) dan Juan Aranols.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 17 Ogos - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk menggunakan instrumen baharu untuk pengurusan sisa pepejal dengan meletakkan tanggungjawab menguruskan produk pasca pengguna kepada pengeluar atau 'Extended Producer Responsibility' (EPR).

 

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib berkata, EPR merupakan salah satu elemen penting dalam memacu pelaksanaan ekonomi kitaran, terutamanya untuk pengurusan sisa pepejal kerana sistem EPR yang direka dengan baik akan menambah baik rantaian nilai kitar semula dan industri kitar semula domestik.

 

“Pelaksanaan EPR akan menjadi kaedah kepada kerajaan untuk menangani tekanan alam sekitar yang disebabkan oleh produk pasca pengguna dan mengurangkan beban kerajaan untuk keperluan kewangan pengurusan sisa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, EPR juga merupakan salah satu elemen penting dalam memacu pelaksanaan ekonomi kitaran terutamanya bagi pengurusan sisa pepejal. 

 

"Sistem EPR yang direka dengan baik akan meningkatkan rantaian nilai kitar semula dan industri kitar semula domestik. Di samping itu, pelaksanaan EPR akan menjadi kaedah kepada kerajaan untuk menangani tekanan alam sekitar yang dihasilkan oleh produk pasca pengguna dan mengurangkan beban kerajaan untuk keperluan kewangan pengurusan sisa," katanya.

 

Terdahulu, M Noor Azman menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPKT dan Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA), baru-baru ini.

 

MoU itu ditandatangani Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan), Kamaruzaman Umar bagi pihak KPKT dan Pengurus Besar, Pauline Goh mewakili pihak MAREA serta turut disaksikan Pengerusi MAREA, Juan Aranols.

 

 

kpkt

 

 

Kerjasama strategik di antara MAREA dan KPKT selaku kementerian peneraju dalam agenda pembangunan mampan untuk melaksanakan EPR di Pulau Langkawi yang telah pun bermula sejak April 2022. 

 

Ia bertujuan untuk melihat mekanisma pelaksanaan EPR yang terbaik dalam kawasan terkawal seperti di Pulau Langkawi. Dapatan kajian ini akan dapat membantu KPKT dalam membangunkan kerangka EPR yang mampan di Malaysia.

 

 

kpkt

 

 

Antara yang terlibat dalam projek itu ialah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), syarikat konsesi perkhidmatan kutipan dan pembersihan E-Idaman, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Collaborative Actions for Single-Use Plastic Prevention in South-East Asia (CAP SEA), pengilang kitar semula dan penduduk tempatan.

 

MAREA ditubuhkan bertujuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah sisa pembungkusan pasca pengguna di Malaysia, di samping memberi tumpuan kepada usaha untuk mengukuhkan rantaian nilai dan menambah baik pengumpulan dan kitar semula sisa pembungkusan pengguna. - DagangNews.com