KPower kini syarikat tunggal Abdul Karim berdagang di bursa | DagangNews Skip to main content

KPower kini syarikat tunggal Abdul Karim berdagang di bursa

KUALA LUMPUR 10 Nov – KPower Berhad kini menjadi satu-satunya syarikat yang dimiliki Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah yang masih berdagang di Bursa Malaysia setelah Serba Dinamik Holdings Bhd dan Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) digantung dagangan saham mereka.

 

Walaupun turut terkesan disebabkan kaitannya dengan Serba Dinamik dan SCIB, syarikat yang mengkhusus di dalam tenaga boleh diperbaharui itu masih berdiri dengan baik hari ini.

 

Ketika pasaran ditutup semalam, saham KPower melonjak 4.5 sen atau 8.41% untuk ditutup pada paras 58 sen sesaham dengan sejumlah 20.23 juta saham didagangkan, meneruskan kenaikan yang dicatat pada 8 November bila ia menokok 3.5 sen.

 

Abdul Karim memegang sebanyak 20.86% kepentingan di dalam KPower selepas melupuskan 900,000 saham pada 49.5 sen, menurut pengumuman syarikat kepada Bursa Malaysia pada Isnin lalu.

 

Pemerhati pasaran menyaksikan bilangan serupa telah dibeli pula oleh pengarah urusan kumpulan KPower, Mustakim Mat Nun.


 

Mustakim Mat Nun
                                                      Mustakim Mat Nun

 

 

Serba Dinamik yang bergelut dengan tindakan mahkamah terhadap Bursa Malaysia Securities Bhd berkaitan isu melepasi tarikh akhir mengemukakan laporan audit, kali terakhir didagangkan di bursa pada 22 Oktober pada harga 35 sen sesaham.

 

SCIB pula, yang mana Abdul Karim merupakan pemegang saham utama dengan 24% kepentingan, telah mengumumkan perniagaan hariannya berjalan seperti biasa walaupun saham syarikat digantung selepas bursa menolak permohonan untuk lanjutan tempoh sehingga 31 Disember ini bagi mengemukakan penyata tahunan berakhir 30 Jun 2021, yang tamat tempohnya pada 31 Oktober lalu.

 

Pengarah Urusan/CEO Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, syarikat mahu menyakinkan semua pemegang saham, rakan kongsi perniagaan, vendor dan kakitangan bahawa kami akan meneruskan operasi harian walaupun saham syarikat digantung.

SCIB, Rosland Othman
Rosland Othman

 

 

“Kami bekerja dengan auditor luaran kami untuk mempercepatkan proses memuktamadkan audit penyata kewangan dan kami menyasarkan laporan tahunan itu dikeluarkan pada Disember ini,’’ katanya.

 

Menurut Rosland, pelan perluasan SCIB tetap teguh kerana syarikat akan menggunakan kekuatannya sebagai pengilang konkrit prasiap dan sistem pembinaan industri (IBS) terbesar di Malaysia Timur bagi meningkatkan peluang-peluang termasuk di Semenanjung Malaysia.

 

Setakat 11 pagi ini, saham KPower menyusut 0.5 sen atau 0.86% kepada 57.5 sen dengan 5.53 juta saham didagangkan, memberi nilai syarikat kepada RM312 juta. – DagangNews.com