KPPK sasar tingkat eksport minyak sawit ke Turki hingga 1 juta tan metrik pada 2022 | DagangNews Skip to main content

KPPK sasar tingkat eksport minyak sawit ke Turki hingga 1 juta tan metrik pada 2022

 KPPK sasar tingkat eksport minyak sawit ke Turki hingga 1 juta tan metrik pada 2022

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlah eksport minyak sawit hingga 1 juta tan metrik ke Turki bermula tahun hadapan.

 

Menteri KPPK, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia bagaimanapun meletakkan sasaran eksport minyak sawit ke Turki sebanyak 500,000 tan bermula tahun ini sebelum angka itu dijangka meningkat.

 

Menurutnya, sasaran tahun 2022 itu akan dicapai susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di samping mengukuhkan lagi pasaran sawit negara.

 

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali 

 

“Insya-Allah, kita akan bergerak untuk mencapai satu angka baharu iaitu 1 juta tan setahun… walaupun memerlukan masa, tapi kita (akan) bergerak ke situ.

 

“Sasaran kita untuk tahun depan (2022), untuk tahun ini kita letak angka sekitar 500,000 (tan) dahulu, tapi dengan keluasan pasaran sedia ada dan dengan MoU yang kita buat dengan dua tiga pihak, Insya-Allah kita boleh mencapai sasaran itu buat masa akan datang,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di Sungai Abong hari ini.

 

Menilai kepada perkara tersebut, pihaknya juga akan menggerakkan usaha untuk mencapai sasaran eksport minyak sawit yang diletakkan itu.

 

Sebanyak tiga Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) telah beroperasi membabitkan sektor perladangan sawit dan getah serta industri perkayuan dan perabot.

 

Pihaknya turut menyasarkan sekurang-kurangnya 80% pemain industri perladangan dan agrikomoditi dalam negara selesai divaksinasi menjelang oktober nanti - DagangNews.com