KPT, MASMED UiTM tingkatkan perniagaan usahawan mahasiswa menerusi Karnival Keusahawanan 2022 | DagangNews Skip to main content

KPT, MASMED UiTM tingkatkan perniagaan usahawan mahasiswa menerusi Karnival Keusahawanan 2022

Oleh Dr Nurzaki Ikhsan

KUALA LUMPUR 1 Nov - Bertepatan dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 yang menyasarkan peningkatan jumlah para usahawan di Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Keusahawanan 2022. 

 

Karnival tersebut merupakan kerjasama antara KPT dengan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia Universti Teknologi MARA (MASMED UiTM) dan Sektor Keusahawan Pusat Pembangunan HEBAT Universiti Sains Malaysia (USM)

 

MASMED UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan, karnival tersebut merupakan platform khas untuk pendedahan serta peluang kepada usahawan mahasiswa daripada pelbagai pertandingan keusahawanan anjuran KPT sepanjang tahun 2021 untuk meningkatkan lagi perniagaan dari pelbagai sudut.

 

"Karnival ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu sesi Kolaborasi Stategik Keusahawanan pada sebelah pagi dan Pemadanan Perniagaan pada sebelah petang. 

 

"Para peserta didedahkan dengan taklimat daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensi jemputan lain bekenaan peranan, latihan dan bimbingan yang disediakan. 

 

"Antara agensi-agensi yang hadir adalah seperti Tekun Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, The Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SIRIM dan  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade)," katanya.

 

Terdahulu, karnival itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Bahagian Perancangan Strategik KPT di UiTM Machang, Nooraidah Abdullah.

 

uitm

 

 

uitm

 

 

Menurut kenyataan itu, menerusi sesi pemadanan perniagaan, peserta berperluang membentangkan idea dan pelan perniagaan secara terus kepada agensi untuk mendapatakan khidmat nasihat, panduan serta peluang pendanaan perniagaan. 

 

"Antara pengisian lain sepanjang karnival adalah ruang pameran daripada agensi dan forum perkongsian yang bertajuk ‘Millenial-Preneur: Realiti vs Ilusi’ oleh wakil daripada Bank Rakyat, SME Corp dan MASMED UiTM," katanya.

 

 

uitm

 

 

Katanya, bagi mencapai objektif utama penganjuran, karnival ini akan dilaksanakan secara bersiri mengikut zon-zon yang telah dikenal pasti seluruh Malaysia. 

 

Bermula di UiTM Cawangan Kelantan (Zon Timur) sebagai lokasi perasmian dan akan disusuli seterusnya di Universiti Sains Malaysia (Zon Utara), UiTM Cawangan Johor (Zon Selatan), UiTM Sarawak sebagai Zon Borneo (Sabah/Sarawak) dan akan diakhiri di UiTM Shah Alam (Zon tengah) sebagai lokasi penutup karnival.

 

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan ke Karnival Keusahawanan 2022, usahawan mahasiswa yang berminat boleh menghubungi Pusat Keusahawan di Institusi Pengajian Tinggi masing-masing. - DagangNews.com

 

Dr Nurzaki Ikhsan ialah Koordinator Inkubator Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia Universiti Teknologi MARA (MASMED UiTM)