Krisis politik Myanmar, persekitaran pasaran Malaysia dibimbangi pengaruhi prospek Tan Chong Motor | DagangNews Skip to main content

Krisis politik Myanmar, persekitaran pasaran Malaysia dibimbangi pengaruhi prospek Tan Chong Motor

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Mac - Prospek Tan Chong Motor Holdings Bhd. dilihat masih tidak menentu terutama persekitaran pasaran di Malaysia yang dijangka terus sengit, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Penganalisisnya, Daniel Wong bagaimanapun, menjangkakan operasi kumpulan di negara ini akan bertambah baik tahun ini seiring dengan pemulihan ekonomi dan lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022. 

 

Katanya, pasaran Indochina pula akan menyaksikan peningkatan berterusan (terutama Vietnam) apabila negara-negara tersebut beransur-ansur bergerak ke peringkat endemik. 

 

"Tetapi, krisis politik yang berterusan di Myanmar kemungkinan akan terus mengheret turun pendapatan kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Tan Chong Motor merekodkan untung bersih sebanyak RM43.28 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih RM69.62 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 15.91% kepada RM866.92 juta daripada RM747.9 juta bagi tempoh sama 2020.

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021, kerugian bersih Tan Chong Motor mengecil kepada RM15.4 juta daripada RM165.58 juta pada tahun sebelumnya, terutama disebabkan campuran jualan yang lebih baik, perbelanjaan operasi yang lebih rendah, kemerosotan nilai yang lebih rendah pada penghutang sewa beli dan keuntungan forex tidak direalisasi yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh itu susut 14.72% kepada RM2.54 bilion berbanding RM2.96 bilion disebabkan tempoh sekatan pergerakan yang berpanjangan.

 

Dengan merekodkan PATMI teras sebanyak RM34.5 juta bagi suku keempat 2021, yang merendahkan LATMI kepada RM59.1 juta, adalah melebihi jangkaan HLIB sebanyak RM98.5 juta tetapi di bawah anggaran konsensus, RM53.5 juta.

 

Secara keseluruhan firma itu masih mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham Tan Chong Motor dengan harga sasaran RM1. 

 

Setakat 12.30 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 3 sen atau 2.68% kepada RM1.15 dengan 7,100 saham diniagakan. - DagangNews.com