Krisis Rusia-Ukraine dijangka tingkat pendapatan Hibiscus Petroleum | DagangNews Skip to main content

Krisis Rusia-Ukraine dijangka tingkat pendapatan Hibiscus Petroleum

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan Hibiscus Petroleum akan menerima kesan positif daripada krisis Rusia-Ukraine dengan harga minyak global dijangka terus meningkat.

 

Firma penyelidikan itu meningkatkan sasaran harga untuk minyak global bagi 2022 kepada AS$90-95 (RM377-RM398) setong berbanding AS$70-75 (RM293-RM314) setong selepas Rusia melakukan pencerobohan ke atas Ukraine dan menjangkakan berlakunya gangguan rantaian bekalan global.

 

"Jangkaan pendapatan juga meningkat sebanyak 12% pada FY2022F dan 47% bagi FY23F selepas harga minyak mentah ketika ini didagangkan pada harga di atas AS$110 (RM461) setong," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, risiko kekurangan bekalan semakin meningkat dengan negara pengeksport minyak utama tidak dapat meningkatkan pengeluaran ke tahap pra-pandemik disebabkan kekurangan pelaburan sejak lima tahun.

 

Bagi tahun 2023, firma penyelidikan itu menaikkan sasaran harga jualan minyak mentah kepada AS$80-85 (RMRM335-RM356) setong, lebih rendah berbanding sasaran tahun ini kerana harga yang tinggi mampu merencatkan permintaan global selain peningkatan penghasilan. 

 

"Kami juga menaikkan harga minyak mentah Hibiscus untuk FY2022F sebanyak AS$5 (RM21) setong kepada AS$85 (RM356) setong selaras dengan kenaikan harga minyak mentah purata berwajaran (WAO) sebanyak 20% kepada AS$65 (RM273) 

 

"Bagi FY2023, kami meningkatkan sasaran harga sebanyak AS$10 (RM42) setong kepada AS$90 (RM377) setong," katanya. 

 

minyak

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan sasaran pendapatan FY2024F kumpulan itu dengan harga minyak mentah tidak berubah AS$60 (RM252) setong kesan daripada pemulihan dinamik permintaan dan bekalan global.

 

"Pengumuman cukai makmur yang diumumkan baru-baru inisama sekali tidak akan memberi kesan besar kepada kada cukai pendapatan Hibiscus sebanyak 38%," katanya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Hibiscus dengan harga yang lebih tinggi RM1.42 berbanding RM1.30 sebelum ini. - DagangNews.com