KSM laksana eWages pantau bayaran gaji pekerja asing | DagangNews Skip to main content

KSM laksana eWages pantau bayaran gaji pekerja asing

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb -  Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan sistem eWages bagi memantau pembayaran gaji kepada pekerja warga asing, dalam masa terdekat

 

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pelaksanaan eWages sebagai sistem pemantauan gaji telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari lalu.

 

"KSM bertanggungjawab dalam melindungi hak pekerja, termasuklah pematuhan kepada undang-undang perburuhan, terma dalam kontrak pekerjaan dan lain-lain isu perburuhan seperti cuti tahunan dan pembayaran gaji," katanya dalam satu kenyataan.

 

Saravanan berkata, KSM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu buruh paksa termasuklah pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa dari 2021 hingga 2025.

 

Katanya, sebagai negara anggota kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Malaysia juga mempunyai obligasi untuk mematuhi 11 indikator buruh paksa termasuk aspek penyediaan tempat tinggal yang kondusif kepada pekerja.

 

"Justeru, KSM sudah mewajibkan majikan yang ingin menggajikan pekerja warga asing untuk mematuhi sepenuhnya Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)," katanya.

 

Saravanan berkata, KSM sedang dalam perancangan untuk mengawal selia Penempatan Pekerja Berpusat (CLQ) bagi memantau pengurusan pekerja warga asing dengan lebih efektif.

 

"Inisiatif ini akan dilaksana secara berperingkat dalam masa lima tahun. Namun, segala hal ehwal berhubung dokumen perjalanan dan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri," katanya.

 

 

sara
Datuk Seri M. Saravanan

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pekerja warga asing dengan negara sumber, KSM hingga kini sudah memeterai MOU dengan 10 negara sumber dan sedang dalam proses untuk memuktmadkan MOU yang telah tamat tempoh.

 

"Ketika ini, KSM sedang dalam proses untuk memuktamadkan MoU pengambilan pembantu rumah Indonesia selepas mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari 2022.

 

"Manakala, MOU dengan Vietnam, Kemboja, India and Sri Lanka sedang dalam proses rundingan kerana telah tamat tempoh semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan daripada penularan wabak COVID-19," katanya.

 

Katanya, pihaknya memandang serius akan isu pengurusan pekerja warga asing yang dibangkitkan pelbagai media kebelakangan ini.

 

"Saya percaya bahawa penjelasan segera diperlukan bagi mewujudkan kesedaran serta meningkatkan kefahaman kepada orang awam," katanya.  - DagangNews.com