KSM tubuh Jawatankuasa Khas Sementara segerakan kelulusan permohonan pekerja asing yang tertangguh | DagangNews Skip to main content

KSM tubuh Jawatankuasa Khas Sementara segerakan kelulusan permohonan pekerja asing yang tertangguh

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 28 April - Kementerian Sumber Manusia telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Sementara untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing yang masih tertangguh.

 

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, proses temuduga majikan akan dilaksanakan di Putrajaya di mana majikan sendiri perlu hadir bagi proses temuduga tersebut dan menandatangani Aku Janji pematuhan perundangan perburuhan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

 

Menurutnya, majikan yang telah menerima tarikh temujanji untuk temuduga akan dihubungi oleh KSM dalam masa terdekat bagi penjadualan semula tarikh temuduga tersebut untuk mempercepatkan proses permohonan mereka.

 

''Langkah ini bagi membantu memenuhi keperluan sektor-sektor bukan pilihan warga tempatan, yang berunsurkan 3D (Dangerous, Dirty, Difficult) seperti sektor perkilangan, pembinaan dan juga perladangan.

 

''Saya juga ingin mengingatkan sekali lagi bahawa tiada permohonan secara manual akan diproses oleh KSM. Permohonan kuota pekerja asing hanya boleh diakses melalui https://fwcms.com.my/,'' kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Saravanan berkata, berdasarkan permohonan yang diterima setakat ini sejak dibuka 15 Februari lalu, terdapat permohonan yang mempunyai kekangan untuk diproses disebabkan majikan tidak memenuhi syarat keperluan pematuhan nisbah oleh Agensi Kawal Selia (AKS), ketidakpatuhan kepada perundangan perburuhan serta permohonan tidak lengkap.

 

Namun begitu kata beliau, Kementerian Sumber Manusia sedar mengenai keperluan mendesak industri sepanjang tempoh dua tahun lepas susulan tiadanya kemasukan pekerja warga asing bagi menampung kekurangan guna tenaga.
 

 

Datuk Seri M Saravanan
               Datuk Seri M Saravanan

 


''Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 April 2022 telah bersetuju agar proses permohonan kuota pekerja warga asing ini dipercepatkan. Susulan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 April 2022 telah mengarahkan penubuhan One Stop Centre (OSC) Khas dengan penyertaan AKS disegerakan dan diselesaikan.

 

''OSC Khas ini mula beroperasi pada 18 April 2022 dan akan berakhir pada 29 April 2022. Namun demikian, KSM peka akan tuntutan industri kepada khidmat pekerja warga asing,'' ujar beliau. - DagangNews.com