KUALA LUMPUR 28 Jun - Kucingko Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM30 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Kumpulan akan mengumpul dana itu menerusi terbitan 100 juta saham baharu pada harga 30 sen sesaham.
Kucingko akan memperuntukkan sejumlah RM17.8 juta bagi tujuan pembesaran kapasiti, termasuk RM11.9 juta untuk penubuhan pejabat cawangan pengeluaran di Malaysia Timur.
Selain itu mereka akan menggunakan sejumlah RM4.4 juta bagi menubuhkan pejabat jualan di Amerika Syarikat (AS), sejumlah RM4.3 juta akan disediakan untuk modal kerja dan baki RM3.6 juta digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Eksekutif kumpulan itu, Ooi Kok Hong berkata, dana yang diperoleh daripada IPO itu membolehkan mereka mengembangkan keupayaan pengeluaran kumpulan selain meningkatkan kecekapan operasi.
"Ia juga akan membantu kumpulan dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kandungan animasi berkualiti tinggi di Malaysia dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan elepas pelancaran prospektus, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Ketua Perbankan Pelaburan Kumpulan dan Perbankan Islam Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Roslan Tik berkata, Kucingko berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan kepakaran dan kehadiran pasaran yang kukuh bagi mencapai pertumbuhan ketara pada tahun-tahun akan datang.
Beliau berkata, Tumpuan syarikat untuk mengembangkan keupayaan pengeluarannya dan meningkatkan kecekapan operasi sejajar dengan dinamik pasaran semasa.
Kenanga Investment merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi kumpulan itu.- DagangNews.com