Kutipan Dana Penjana Nasional melebihi sasaran berjumlah RM850 juta  | DagangNews Skip to main content

Kutipan Dana Penjana Nasional melebihi sasaran berjumlah RM850 juta 

Tengku Zafrul Aziz. - Gambar Facebook Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Program Dana Penjana Nasional (DPN) telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM850 juta yang melebihi sasaran awal RM228 juta, iaitu sebanyak RM622 juta atau 3.7 kali lebih tinggi pada pusingan awal yang berakhir penghujung Mei 2021. 

 

Perkara itu diumumkan Penjana Kapital Sdn. Bhd. (Penjana Kapital), sebuah syarikat yang ditubuhkan bagi mengendalikan DPN.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, matlamat DPN adalah berteraskan keperluan bagi memastikan industri syarikat pemula niaga di Malaysia dapat mengatasi cabaran pembiayaan berkaitan COVID-19. 

 

“...Dan terus berinovasi untuk menyumbang kepada kemajuan negara di dalam pelbagai sektor, termasuk mobiliti, pertanian dan kesihatan. 

 

“Projek-projek yang telah dipilih sedang mengembangkan solusi yang bertunjangkan inovasi serta berteknologi canggih, yang kesemuanya akan membantu Malaysia mencapai visi MyDigital lebih pantas daripada jangkaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Penjana Kapital menerusi kenyataan sama memberitahu, daripada jumlah dana tersebut, sebanyak RM433 juta atau lebih daripada 55% merupakan modal pelabur-pelabur asing, dari Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura. 

 

Tambah syarikat itu, daripada lapan syarikat modal teroka asing dan rakan kongsi tempatan yang telah terpilih di bawah program DPN, tiga telah berjaya mencapai sasaran dana pusingan akhir lebih awal dari jangkaan. 

 

DPN adalah program padanan fund-of-funds yang merupakan sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). 

 

Kerajaan akan memadankan sehingga RM600 juta, pada kadar padanan 1:1, modal yang dijana oleh pengurus dana modal teroka dari pelabur swasta tempatan dan asing, dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion. 

 

Kejayaan pengumpulan dana pusingan awal itu bermakna program DPN berkemungkinan cerah untuk mencapai sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

 

Sebagai rekod, matlamat DPN adalah untuk merapatkan jurang pembiayaan dengan memberi insentif kepada pelabur swasta untuk memudahcara pertumbuhan syarikat pemula niaga dan mewujudkan sebuah ekosistem yang menggalakkan supaya mereka dapat berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa. 

 

“Dari jumlah dana RM850 juta yang telah dikumpul, jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM118 juta telah diluluskan untuk sembilan syarikat pemula niaga, termasuk 1) sebuah syarikat pemula niaga mobiliti tempatan, yang dijangka mewujudkan lebih kurang 1,000 peluang pekerjaan di Malaysia dan melibatkan pelaburan dari sebuah syarikat gergasi automotif global yang akan mengukuhkan kedudukan syarikat mobiliti ini sebagai sebuah syarikat yang berpotensi untuk menjadi syarikat unicorn Malaysia. 

 

“2) Sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) dengan perniagaan berteraskan inovasi akan memindahkan ibu pejabat syarikat tersebut ke Malaysia dari Singapura selepas melabur. Pelaburan ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan menarik pekerja yang berkemahiran ke Malaysia untuk berkongsi pengetahuan. 

 

“3) Sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) pra-unicorn dengan barisan pelanggan yang terdiri daripada syarikat multinasional di seluruh Asia telah memberikan komitmen untuk melabur sehingga AS$100 juta di Malaysia dalam masa lima tahun selepas pelaburan. Perkembangan syarikat tersebut di Malaysia dijangka memberikan peluang perkongsian pengetahuan daripada pekerja-pekerja yang telah dilatih di Silicon Valley dan akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di dalam industri teknologi kewangan,” jelas Penjana Kapital. 

 

Selain itu, jumlah pelaburan itu juga turut diluluskan untuk sebuah syarikat teknologi pertanian (agritech) yang bercadang untuk melaburkan antara AS$15 juta hingga AS$75 juta di Malaysia.

 

Ujar Penjana Kapital, portfolio syarikat pemula niaga di bawah program DPN komited untuk menyumbangkan manfaat ekonomi ketara kepada ekonomi Malaysia dan mewujudkan sekurang-kurangnya 1,400 pekerjaan berkualiti tinggi. 

 

Jumlah dana untuk dilaburkan daripada program berkenaan sekurang-kurangnya RM1.2 bilion dalam tempoh lebih dua tahun.

 

Suntikan dana pelaburan itu dijangka memangkin ekosistem syarikat modal teroka tempatan dan akan memberikan impak kepada ruang syarikat pemula niaga negara. - DagangNews.com