KWAP umum pelaburan pertama berjumlah RM100 juta menerusi strategi Dana Perintis | DagangNews Skip to main content

KWAP umum pelaburan pertama berjumlah RM100 juta menerusi strategi Dana Perintis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelaburan pertama di bawah strategi Dana Perintis berjumlah RM100 juta terdiri daripada dua pelaburan langsung dalam syarikat pemula dan dua komitmen dana modal teroka (VC).

 

KWAP berkata, mereka telah melabur dalam dua syarikat Malaysia iaitu Bateriku (M) Sdn Bhd dan Lapasar Sdn Bhd bagi terus menyokong rancangan pertumbuhan serta pengembangan syarikat itu.

 

"Bateriku merupakan penyedia perkhidmatan automotif yang sedang berkembang pesat dengan rangkaian rakan kongsi di seluruh negara, menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan rangkuman kewangan.

 

"Walaupun Lapasar ialah pasaran borong dalam talian fokus kepada memenuhi keperluan dalam sektor pengguna selain mempercepatkan penggunaan pendigitalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

KWAP berkata, ia juga telah membuat komitmen kepada dua dana VC, iaitu Vynn Capital, sebuah dana tempatan yang melabur dari peringkat benih dengan tumpuan kepada sektor mobiliti dan rantaian bekalan, serta Antler, dana VC peringkat awal paling aktif di dunia bermula dana pemula hingga Siri A.

 

"Antler baru-baru ini mengembangkan program residensi utamanya ke Malaysia, yang direka untuk menyokong pengasas agar syarikat pemula mereka dilancarkan dan dibiayai.

 

"Ini adalah yang pertama dalam portfolio pelaburan dana yang akan disusun rapi untuk menyuntik modal ke dalam bahagian ekosistem tempatan yang paling memerlukannya," katanya.

 

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, mereka yakin dengan prospek dan potensi pelaburan dalam empat entiti ini dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan mereka, menambah nilai dan memberikan sokongan bagi memastikan kejayaan mereka.

 

“Pelaburan ini juga menandakan komitmen untuk mengiktiraf dan memupuk idea-idea inovatif sejajar dengan inisiatif Ekonomi Madani.

 

"Dengan kemunculan peluang menarik dalam ekosistem syarikat pemula Malaysia, kami dengan sukacitanya mengumumkan pelaburan sulung Dana Perintis," katanya.

 

Hazman berkata, akan ada lebih banyak pelaburan dan pengumuman akan datang apabila KWAP meneruskan pelancaran Dana Perintis. - DagangNews.com