Kwasa lantik Gagasan Nadi Cergas bina rumah mampu milik di Kwasa Damansara | DagangNews Skip to main content

Kwasa lantik Gagasan Nadi Cergas bina rumah mampu milik di Kwasa Damansara

 

PETALING JAYA 25 Okt – Kwasa Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selaku pemaju utama perbandaran Kwasa Damansara, akan bekerjasama dengan Gagasan Nadi Cergas Berhad untuk membangunkan fasa pertama projek perumahan mampu milik Rumah Selangorku (RSKU) jenis Idaman di Kwasa Damansara.

 

Selaras dengan pengumuman Belanjawan tahun lepas, KWSP menegaskan komitmennya untuk terus membangunkan Kwasa Damansara dan menyokong usaha kerajaan bagi menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat Malaysia terutamanya dari kalangan B40 dan M40.

 

Ini sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang menyemai nilai perpaduan dan keterangkuman. Langkah ini juga selaras dengan inisiatif Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor Pasca COVID-19 yang telah diumumkan pada Julai 2020.

 

Melalui kerjasama ini, dua plot kediaman berstatus pegangan bebas iaitu Plot R4-1 dan R4-2 berkeluasan 39.12 ekar telah dikenal pasti untuk pembinaan 3,990 unit RSKU Idaman dengan Fasa 1 dijangka siap pada akhir tahun 2024.

 

Pengarah Urusan Kwasa Land, Adenan Md Yusof berkata, walaupun industri berhadapan dengan prospek ekonomi dan pasaran yang mencabar, permintaan untuk rumah mampu milik di kawasan bandar masih tinggi.

 

Beliau berkata, objektif pihaknya ialah membangunkan perbandaran lestari yang hijau, mudah diakses dan terangkum.

 

‘’Memang tidak dapat disangkal bahawa pandemik ini telah memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat, justeru langkah menyediakan perumahan mampu milik akan disegerakan dan diberi keutamaan bagi meringankan beban rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

 

‘’Peranan kami ialah menyediakan perumahan mampu milik di Kwasa Damansara. Secara keseluruhannya, Kwasa Land akan memperuntukkan 40% daripada jumlah keseluruhan pembangunan kediamannya untuk pembinaan rumah mampu milik dengan menawarkan kawasan tanah perumahan prima kepada rakan pemaju pada nilai lebih rendah daripada harga pasaran agar kos pembangunan dapat dikurangkan dan membolehkan rakan pemaju menjual unit dengan harga yang kompetitif dan berpatutan,” ujarnya.

 

Menurut beliau lagi, bersama Gagasan Nadi Cergas yang terbukti berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam pembinaan kediaman mampu milik, pihaknya komited untuk terus menyokong dasar kerajaan persekutuan dan negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya pembeli rumah pertama untuk memiliki kediaman berkualiti.

 

 

kwasa
Pengarah Urusan Kwasa Land, Adenan Md Yusof

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, tawaran nilai syarikat sebagai kontraktor yang berdaya saing dari segi kos telah membantu pihaknya memenangi projek rumah mampu milik dari pemaju hartanah yang masyhur termasuk Kwasa Land.  

 

Nilai Pembangunan Kasar projek ini dianggarkan berjumlah RM1 bilion dan setiap fasa dijangka mengambil masa 36 bulan untuk dibangunkan.

 

Setiap unit akan mengandungi 3 bilik tidur dan 2 bilik mandi merangkumi keluasan 1,000 kaki persegi dengan harga jualan RM250,000.

 

Setiap unit akan dilengkapi dengan kabinet dapur, almari, set TV sekali dengan kabinet, penyaman udara untuk semua bilik tidur, pemanas air dan peti sejuk.

 

Bagi meringankan masalah kesukaran mendapatkan pinjaman dan menyediakan wang pendahuluan, sebanyak 130 unit diperuntukkan kepada pembeli-pembeli yang layak menerusi Skim Smart Sewa oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

 

Perbandaran Kwasa Damansara yang berkeluasan 2,257 ekar terletak bersebelahan dengan Kota Damansara dan terminal udara Subang SkyPark. Perbandaran ini dijangka mampu menampung 250,000 penduduk apabila siap sepenuhnya. – DagangNews.com