KWSP lancar 2 inisiatif baharu kurangkan beban majikan | DagangNews Skip to main content

KWSP lancar 2 inisiatif baharu kurangkan beban majikan

 

 

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan 2 inisiatif baharu untuk majikan bagi meringankan pengurusan aliran kewangan mereka ketika tempoh pandemik, sekali gus membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab statutori ke atas pekerja. 

 

Menurut KWSP, melalui inisiatif pertama iaitu pengecualian caj lewat bayar caruman, majikan diberi kelonggaran untuk tempoh membayar caruman bulan semasa.

 

Katanya, pengecualian caj lewat bayar caruman merujuk kepada caj yang dikenakan ke atas majikan yang gagal membayar caruman wajib KWSP pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan. 

 

"Walaupun tarikh akhir untuk membayar caruman tersebut tidak berubah, melalui inisiatif ini majikan boleh membayar caruman mereka sehingga akhir setiap bulan tanpa dikenakan caj lewat bayar. 

 

"Ini akan memberi fleksibiliti kepada majikan untuk mengurus aliran tunai mereka dengan lebih efektif semasa tempoh mencabar ini. 

 

"Pihak majikan tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk inisiatif ini yang akan berkuat kuasa secara automatik bermula caruman bulan September 2021 sehingga Disember 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, melalui inisiatif kedua iaitu Tawaran Insentif Pengurangan Caj Lewat Bayar (e-PaR), majikan berpeluang untuk mendapatkan pengurangan menyelesaikan baki caj lewat bayar yang tertunggak. 

 

Bagi inisiatif ini, KWSP berkata, majikan ditawarkan pengurangan sehingga 70% untuk caj lewat bayar yang tertunggak bagi caruman yang lewat dibayar untuk mana-mana tempoh sebelum Ogos 2021. 

 

"Untuk layak mendapatkan pengurangan ini, majikan perlu memastikan caruman dan dividen yang tertunggak untuk pekerja mereka bagi tempoh sebelum Ogos 2021 telah diselesaikan sebelum 31 Disember 2021," jelasnya.

 

Pengurangan caj lewat bayar caruman ini bertujuan membantu majikan menguruskan aliran tunai mereka di samping menyediakan peluang dan insentif untuk mereka menyelesaikan sebarang baki pembayaran caruman yang tertunggak.

 

"Permohonan e-PaR akan dibuka mulai 13 September 2021 hingga 31 Disember 2021," tambahnya.

 

Menurut KWSP, pihaknya menyedari cabaran kewangan yang sedang dihadapi oleh majikan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

 

"Diharapkan kedua-dua inisiatif yang ditawarkan ini dapat mengurangkan impak pandemik ke atas operasi perniagaan selain memastikan majikan dapat meneruskan tanggungjawab membayar caruman pekerja untuk simpanan persaraan mereka," katanya. - DagangNews.com