La Nina jejaskan harga sawit - Fitch | DagangNews Skip to main content

La Nina jejaskan harga sawit - Fitch

Hujan lebat berpanjangan akan menjejaskan kawasan tanaman sawit di Malaysia dan Indonesia

ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) akan berlegar pada purata AS$600 (RM2,494) per tan atau lebih tinggi lagi tahun ini.

Bagaimanapun, harga MSM dijangka menyusut kepada AS$560 (RM2,325) per tan pada tahun hadapan berikutan pengeluaran tinggi disebabkan fenomena La Nina yang memberi kesan kepada permintaan biodiesel di Indonesia. 

Menurut Fitch, hujan lebat itu akan menyebabkan pengeluaran hasil lebih tinggi di Malaysia dan Indonesia pada 2021 dan mengurangkan harga MSM. 

"Fenomena ini menjadi risiko utama kepada unjuran harga MSM pada 2021, apatah lagi jika hujan lebat berpanjangan dan juga persaingan dengan minyak lain yang boleh dimakan. 

"Bagaimanapun, hujan lebat ini kemungkinan boleh menyebabkan berlakunya banjir termasuk di kawasan tanaman sawit, yang turut memberi kesan kepada pengeluaran dan memberi sokongan terhadap harga dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Fitch, Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizikal Indonesia mengunjurkan kekuatan La Nina dari rendah ke sederhana dalam tempoh tiga bulan terakhir 2020 dan menjangkakan kira-kira 55 peratus daripada seluruh negara menerima curahan hujan yang tinggi berbanding purata. 

"Secara umumnya, Asia Tenggara, Afrika Selatan, India dan Australia menerima hujan melebihi paras normal disebabkan La Nina, manakala Argentina, Eropah, Brazil dan bahagian selatan Amerika Syarikat akan mengalami cuaca yang lebih kering," katanya. 

Menurut agensi penarafan itu, keadaan La Nina yang lemah kepada sederhana boleh meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) tetapi jika hujan berterusan sehingga berlakunya banjir akan mengganggu kerja-kerja menuai dan mengangkut buah ke kilang sawit. 

"Jika berpanjangan sehingga lebih lima bulan pula, ia akan mempengaruhi pengeluaran buah disebabkan pendebungaan yang rendah sekali gus menjejaskan hasil BTS," katanya. - Dagangnews.com