Ladang di Indonesia dijangka pacu pertumbuhan pengeluaran buah sawit GENP | DagangNews Skip to main content

Ladang di Indonesia dijangka pacu pertumbuhan pengeluaran buah sawit GENP

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Ladang di Indonesia dijangka memacu pertumbuhan pengeluaran buah tandan sawit segar (FFB) Genting Plantations Berhad (GENP) bagi tahun kewangan 2021 (FY21). 

 

Menurut penganalisis di AmInvestment Bank, Gan Huey Ling, negara tersebut dijangka menikmati jumlah keluasan estet pokok sawit yang mencapai tahap kematangan lebih tinggi, dianggarkan 1,500 hektar.

 

“Indonesia dijangka menyumbangkan 55% hingga 60% kepada pengeluaran FFB GENP bagi FY21. Buat masa ini, tiada isu cuaca besar melibatkan estet minyak sawit GENP di Indonesia dan Malaysia.

 

“Di Malaysia, pengeluaran FFB GENP dijangka mendatar pada FY21 kerana penanaman semula pokok sawit yang berusia di Sabah dan Semenanjung Malaysia. 

 

“GENP tidak berdepan isu tenaga kerja yang ketara, di mana hanya mengalami kekurangan 5% pekerja di Malaysia,” jelas Huey Ling dalam satu nota kajian.

 

Secara keseluruhannya, Huey Ling mengunjurkan pengeluaran FFB GENP akan meningkat 3.5% pada FY21 berbanding penyusutan 5% pada FY20. 

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan ‘pegang’ saham GENP dengan nilai wajaran tidak berubah pada kadar RM8.30 sesaham.

 

Baca : Genting Plantations melabur dalam AI tambah baik teknologi pertanian

 

Dari segi prestasi kewangan pula, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) bagi segmen hiliran GENP dijangka menyusut kepada RM30 juta bagi tahun kewangan semasa berbanding RM33.5 juta pada FY20. 

 

“Walaupun bahagian hilirannya mencatatkan EBITDA RM24 juta pada suku kedua FY21 (2QFY21) berbanding kerugian RM5.9 juta pada 1QFY21, namun terdapat risiko margin EBITDA meruncing disebabkan kos suapan stok yang tinggi pada separuh kedua FY21 (2HFY21),” tambah Huey Ling. - DagangNews.com