KUALA LUMPUR 15 Dis - Serba Dinamik Holdings Bhd. telah mencetuskan kriteria PN17 tetapi tidak akan diklasifikasikan berikutan langkah bantuan COVID-19, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan berkata, ia mencetuskan kriteria PN17 pada 9 Disember lalu seperti ditetapkan dalam Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1 (f) Nota Amalan 17-Kriteria dan Kewajipan Penerbit PN17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) Bursa Malaysia Securities Bhd.
Malah, ia turut mengesahkan SD International Sukuk Ltd. (SDISL), anak syarikat milik penuh Serba Dinamik International Ltd, yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Serba Dinamik, telah melanggar bayaran faedah yang perlu dibayar pada 9 Disember 2021, berdasarkan sijil amanah AS$300 juta yang perlu dibayar pada 9 Mei 2022 berjumlah AS$6.5 juta (sukuk dolar AS).
"Berdasarkan Langkah-langkah Bantuan PN17, Serba Dinamik tidak akan diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas PN17," katanya hari ini.
Bursa Malaysia menerusi surat arahannya bertarikh 16 Jun 2021 memberi pelepasan kepada penerbit tersenarai yang terjejas daripada mematuhi kewajipan Perenggan 8.04 dan PN17 MMLR mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2021.
Di bawah langkah itu, penerbit tersenari yang terjejas mesti, selepas tamat tempoh 18 bulan daripada Pengumuman Pelepasan PN17, menilai semula keadaannya dan mengumumkan sama ada ia terus mencetuskan mana-mana kriteria dalam PN17 MMLR. - DagangNews.com