Langkah KPJ menjual Jeta Gardens di Australia buka peluang alih tumpuan kepada perniagaan domestik – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Langkah KPJ menjual Jeta Gardens di Australia buka peluang alih tumpuan kepada perniagaan domestik – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Langkah KPJ Healthcare Bhd menjual Jeta Gardens Aged Care, perniagaan penjagaan warga emas yang merugikan di Australia, membolehkan kumpulan itu mengalih tumpuan kepada perniagaan domestiknya, menurut RHB Investment.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata KPJ boleh mengurangkan kos operasi dan keperluan aliran tunai kumpulan, pada masa hadapan,

 

Firma itu berkata ia positif terhadap penjualan aset berprestasi rendah itu, yang melibatkan KPJ mengeluarkan bayaran tunai bersih RM2.1 juta selepas mengambil kira perbezaan antara nilai jualan aset dan liabiliti yang akan ditanggung oleh pembeli, DPG Services Pty Ltd.

 

Pada masa yang sama, pemilik tanah dan bangunan Jeta Gardens, Al-Aqar Australia Pty Ltd, turut memeterai kontrak penjualan tanah dengan pertimbangan tunai RM74.9 juta dengan Principal Healthcare Finance.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Al-Aqar Healthcare REIT cadang lupus Jeta Gardens Aged Care di Australia berharga RM74.9 juta

 

 

"Penilaian adalah menarik pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2024 sebanyak 22 kali, 0.5SD di bawah purata lima tahunnya sebanyak 33 kali," kata firma itu dalam nota penyelidikannya.

 

Sekiranya penjualan tersebut berjaya disiapkan pada 2024, RHB Investment berkata ia akan menghasilkan potensi pertambahan pendapatan sebanyak 8% berdasarkan anggaran pendapatannya pada 2024.

 

Menurut firma itu, Jeta Gardens mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM20.9 juta pada 2022 dan segmen penjagaan warga emas di Australia menghadapi prospek yang mencabar.

 

Memetik laporan juruaudit bebas Jeta Gardens untuk FY21 dan FY22, firma itu berkata ketidakpastian material yang timbul daripada kerugian selepas cukai dan kedudukan liabiliti bersih boleh menimbulkan keraguan yang ketara terhadap keupayaan syarikat itu untuk meneruskan usaha berterusan.

 

"Dalam hal ini, KPJ telah menyediakan sokongan kewangan kepada Jeta Gardens apabila perlu bagi membolehkan Jeta Gardens memenuhi liabilitinya.

 

"Kami masih menyukai saham itu untuk hala tuju strategik utamanya, pertumbuhan pelancongan kesihatan menggalakkan dan peningkatan beransur-ansur dalam kecekapan operasi dengan hospital baharunya mungkin mula menyumbang secara bermakna kepada kumpulan itu menjelang 2024," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.66 sesaham.

 

Pada pukul 2:54 petang ini, saham KPJ telah menokok 3 sen atau 2.1% kepada RM1.43 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM6.47 bilion.  - DagangNews.com