Lanjutan cuti sementara Ketua Pegawai Kewangan tidak beri kesan kepada operasi MSM | DagangNews Skip to main content

Lanjutan cuti sementara Ketua Pegawai Kewangan tidak beri kesan kepada operasi MSM

Dr Mazatul ‘Aini Shahar Abdul Malek Shahar
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

PASIR GUDANG 16 Jan - Lanjutan kedua cuti sementara Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Dr. Mazatul 'Aini Shahar Abdul Malek Shahar tidak akan memberi kesan operasi MSM Malaysia Holdings Berhad.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (COO), Hasni Ahmad berkata, ia adalah urusan lembaga pengarah tetapi tidak memberi sebarang penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

 

“Kami masih beroperasi seperti biasa dan kami mempunyai pegawai bertanggungjawab untuk urusan berkenaan hal berkaitan kewangan.

 

"Bagi kami, tiada masalah. Jadi, kami serahkan kepada lembaga pengarah untuk membuat keputusan mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd., hari ini.

 

Pada 15 Januari 2024, MSM mengumumkan lanjutan kedua cuti sementara Mazatul sebulan lagi. 

 

Cuti beliau pada mulanya ditetapkan dari 20 Oktober hingga 15 Disember 2023. Pada masa itu, MSM menjelaskan bahawa ia bagi memudahkan siasatan dalaman yang sedang dijalankan. 

 

Kemudiannya cuti dipanjangkan hingga 15 Januari 2024 dan kini dilanjutkan hingga 15 Februari 2024, atau sehingga lembaga memberikan notis selanjutnya. 

 

Beliau dilantik memegang jawatan sebagai CFO pada Disember 2022. 

 

Ini bukan kali pertama MSM mengambil tindakan terhadap pengurusan tertinggi. 

 

Pada 2020, Ketua Pegawai Eksekutifnya ketika itu, Datuk Khairul Anuar Aziz telah digantikan selepas lembaga pengarah MSM mendapati penjelasannya mengenai hapus kira dalam inventori berjumlah RM36.6 juta di kilang MSM Johor tidak boleh diterima. 

 

Syarikat itu berkata lembaga pengarah telah mengambil tindakan berikutan penyelewengan tertentu yang berkaitan dengan inventori.- DagangNews.com