Lapangan terbang baharu Mukah dibuka hari ini | Dagang News Skip to main content

Lapangan terbang baharu Mukah dibuka hari ini

Lapangan Terbang Mukah akan menerima penerbangan pertama dari Miri dan Kuching, hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Lapangan Terbang Mukah bernilai RM300 juta mula beroperasi hari ini yang mampu mengendalikan sehingga 264,000 penumpang setahun.

 

Dengan keluasan 3,120 meter per segi, lapangan terbang baharu ini menggantikan fungsi Mukah Short Take-off and Landing Air Strip (STOLport) setelah melengkapkan Kesiapsiagaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) bulan lalu.

 

Terminal baharu ini juga mampu mengendalikan sehingga 200 penumpang pada satu-satu masa berbanding STOLport, sebanyak 67 penumpang.

 

Bagi landasan sepanjang 1.5 kilometer, ia bersesuaian untuk pesawat turboprop dan operasi helikopter.

 

Selain itu, lapangan terbang baharu ini mampu mengendalikan pesawat yang lebih besar seperti Boeing 737 dan Airbus A320 pada masa akan datang. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pembukaan lapangan terbang baharu itu mampu meningkatkan keterhubungan antara Mukah dan kawasan-kawasan lain di Sarawak.

 

"Ia juga dilihat tepat pada masanya terutama ketika tempoh mencabar akibat pandemik COVID-19 yang memerlukan penghantaran barangan penting seperti perubatan, makanan dan keperluan asas ke kawasan pedalaman," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Setakat ini, di Sarawak sahaja MAHB mengendalikan lapan lagi STOLports yang merupakan penyumbang utama sosioekonomi setempat.

 

Terletak tujuh kilometer dari pekan Mukah, lapangan terbangan ini di kawasan seluas 285 ekar dan dilengkapi terminal baharu, landasar, menara kawalan trafik, pejabat, bangunan VIP, bomba dan balai menunggu. 

 

Selain itu, ia juga memiliki kemudahan lain termasuklah 100 lot tempat letak kereta, 20 lot tempat letak teksi, 20 lot bagi tempat letak motosikal dan dua lot untuk bas bagi kemudahan orang awam.

 

Bangunan ini turut menempatkan pejabat seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Jabatan Kaji Cuaca. - DagangNews.com