KUALA LUMPUR 16 Nov - Pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia mampu meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5% atau RM122 bilion menjelang 2030.
Malah, menurut laporan bertajuk 'Menganggarkan impak ekonomi terhadap rangkaian borong tunggal 5G di Malaysia' yang diterbitkan Digital Nasional Bhd. (DNB) mendapati teknologi itu akan mewujudkan 148,000 pekerjaan dalam tempoh berkenaan.
DNB menerbitkan laporan yang dijalankan oleh Ernst & Young Consulting Services Sdn Bhd (EY) sempena Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Negara dan 4IR yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.
Unjuran yang dimuatkan dalam laporan tersebut adalah berdasarkan kepada sumber data daripada Jabatan Perangkaan Malaysiua dan EY sebagai sumber data pihak ketiga serta temu bual kualitatif dengan peneraju industri.
Berdasarkan laporan berkenaan, unjuran peningkatan dalam KDNK akan didorong oleh penambahbaikan terhadap kecekapan dan produktiviti berikutan transformasi digital yang dipacu menerusi penggunaan 5G.
Katanya, terdapat juga jangkaan pengembangan industri digital dan kemasukan firma baharu dalam pasaran, yang juga menyumbang kepada pertumbuhan KDNK.
"Peningkatan kepada KDNK dan peluang pekerjaan dijangka bermula dengan pelancaran rangkaian borong tunggal 5G (SWN) pada tahun ini, meningkat secara berterusan sehingga 2030 dan melangkaui 2030," katanya.
Laporan itu menjangkakan pekerjaan dalam sektor pembuatan dan pengangkutan, penyimpanan dan ICT akan menerima impak terbesar daripada penggunaan 5G, yang mana ia akan menjana teknologi bahary seperti pengeluaran telefon pintar dan meningkatkan penyelesaian logistik.
"Analisis kami juga menunjukkan wujudnya impak negatif terhadap guna tenaga dalam sektor pertanian (sekitar 4% daripada tahap guna tenaga sektor ini pada 2020).
"Bagaimanapun, teknologi ini akan menjadi pemacu kepada produktiviti dalam sektor dan meningkatkan KDNK sebanyak 2.6%," jelasnya.
Pada masa sama, katanya, teknologi 5G menyediakan peluang kepada pekerja berkemahiran rendah untuk mengembangkan kemahiran baharu dan bekerja semula dalam sektor lain.
Di samping itu, laporan berkenaan turut menganggarkan pelaburan langsung DNB dalam rangkaian 5G boleh menjana penambahan kepada KDNK sebanyak RM20.9 bilion.
Daripada jumlah ini, dianggarkan sebanyak RM7.9 bilion (atau 38%) berkaitan KDNK yang dijana secara langsung oleh DNB melalui perbelanjaan ke atas kos operasi dan korporat, manakala RM13 bilion dijana sepanjang rantaian bekalan dan ekonomi yang lebih meluas.
DNB juga berkata, pelaburan tersebut boleh menjana lebih 14,800 peluang pekerjaan ketika penggunaan 5G mencapai kemuncak pada 2022 berikutan meningkatnya permintaan dalam rantaian bekalan sektor.
"Oleh itu, impak menyeluruh terhadap ekonomi akan dijana menerusi pelaburan swasta memandangkan kos penggunaan rangkaian 5G akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta melalui DNB, tanpa melibatkan peruntukan kerajaan, pembiayaan atau sebarang jaminan," jelasnya.
Menurutnya, SWN akan membantu merapatkan jurang digital dan menyediakan lebih banyak peluang sama rata dari segi keterhubungan kerana ia menyediakan akses yang cepat kepada sambungan jalur lebar berkualiti tinggi terutama di kawasan luar bandar.
DNB menyifatkan dengan membawa keterhubungan ke kawasan luar bandar akan meningkatkan keterangkuman, menyediakan lebih banyak peluang pendidikan, pembangunan kemahiran dan pekerjaan serta akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting.
"Ini akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar, dan menyediakan lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk mendapat akses kepada pasaran dalam talian," katanya. - DagangNews.com