Laporan ESET: Jenayah siber di Malaysia meningkat 38% pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Laporan ESET: Jenayah siber di Malaysia meningkat 38% pada 2022

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei - Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 38% dalam pengesanan perisian hasad pada 2022 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan keselamatan, ESET.

 

Penyelidik Perisikan Ancaman Utama ESET, Robert Lipovsky berkata, Malaysia sedang disasar penyerang siber dari seluruh dunia. 

 

Beliau berkata, dengan kerugian hampir RM600 juta direkodkan pada 2022 akibat jenayah siber, perniagaan dan organisasi Malaysia digesa bersiap sedia menghadapi era kecerdasan buatan (AI) generatif dan lebih bersedia menghadapi ancaman siber.

 

"Edisi terkini ‘Hari Sekuriti ESET’ mendedahkan bagaimana 'transformer' pemprosesan bahasa semula jadi (NLP), serupa dengan teknologi di sebalik AI generatif, boleh digunakan dalam pembelaan keselamatan siber untuk meningkatkan pengesanan pelbagai ancaman, seperti perisian tebusan, serangan yang disasarkan, pancingan data dan kelemahan keselamatan.

 

"Dengan peningkatan dalam kerumitan dan frekuensi ancaman siber, Hari Sekuriti ESET 2023 menekankan kepentingan  memahami dan menangani ancaman ini untuk melindungi data sensitif, melindungi aset digital, serta mengekalkan daya tahan perniagaan dan individu dalam dunia yang semakin saling berkaitan dan dipacu AI," katanya dalam kenyataan.

 

Lipovsky berkata, sebuah eksploitasi lama mendahului senarai pengesanan itu, iaitu (CVE-2017-11882) yang menjejaskan Microsoft Office pada 2017. 

 

"Satu lagi eksploitasi yang muncul di radar kami ialah 'Log4j', yang juga telah ditampal sejak ia pertama kali dilaporkan pada 2021.

 

eset
                                                                                 Robert Lipovsky

 

"Hakikat bahawa telemetri kami dapat mengesan peningkatan sebanyak 407% dalam eksploitasi Log4j di Malaysia dalam empat bulan pertama pada tahun 2023 berbanding akhir tahun lepas dengan kelemahan lama masih digunakan untuk menyasarkan organisasi di Malaysia adalah amat membimbangkan," katanya.

 

Katanya, serangan protokol 'desktop' jauh (RDP), yang telah menjadi tajuk utama dalam tempoh tiga tahun lalu disebabkan trend kerja jauh, menurun sebanyak 90% pada 2022.

 

"Cerapan kami mengukuhkan fakta bahawa pelaku ancaman akan sentiasa menyesuaikan strategi mereka untuk menyasarkan organisasi di Malaysia berdasarkan trend baharu muncul di negara ini serta perkara dianggap paling berkesan penjenayah siber," katanya.

 

 

eset
                                                                                   Parvinder Walia

 

Sementara itu, Presiden ESET Asia Pasifik dan Jepun, Parvinder Waliaun, berkata, pihaknya mengesan purata sebanyak 300,000 ancaman yang tidak pernah dilihat setiap hari dan dijangka terus meningkat disebabkan AI. 

 

"Kami sentiasa melabur banyak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan mencipta alat berkuasa seperti 'Augur', enjin pembelajaran mesin lanjutan kami, untuk terus mendahului landskap ancaman dan menyediakan pelanggan dengan perlindungan keselamatan siber terkini," katanya. - DagangNews.com