PUTRAJAYA 16 Mac - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah membuat laporan polis berhubung dua artikel, masing-masing diterbitkan dua portal berita mengenai alegasi penglibatan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali di dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.
Menurut kenyataan media pejabat berkenaan, laporan polis itu dibuat agar siasatan dapat dijalankan di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan lain-lain peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Kenyataan itu menyebut, artikel tersebut disiarkan oleh portal Malaysia Now bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan portal Malaysia Today bertajuk ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lepas.
“Artikel-artikel itu mengandungi beberapa perkara yang dipercayai akan mengganggu gugat perjalanan pentadbiran keadilan jenayah dan institusi kehakiman negara ini,” menurut kenyataan itu.
Pejabat berkenaan meminta orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu perjalanan sesuatu kes yang sedang dibicarakan.
Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapatinya bersalah menyeleweng dana RM42 juta SRC.
Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi selepas menolak rayuan bekas perdana menteri itu. - DagangNews.com