KUALA LUMPUR 27 April - Larangan rentas negeri berkemungkinan besar akan diteruskan lagi hingga Hari Raya Aidilfitri nanti.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ini kerana pihaknya telah mencadangkan agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan terus dilanjutkan.
"Berdasarkan kepada situasi semasa di negara kita hari ini dan kebimbangan kewujudan varian baharu COVID-19 (Afrika Selatan), perlunya untuk kita mengetatkan kawalan bagi pengekang penularan wabak.
"Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpendapat bahawa adanya keperluan untuk kita melanjutkan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya seperti dilapor The Star.
Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam negeri termasuk wilayah terus kekal sebagai kawasan PKPB.
Lima negeri dan wilayah terbabit adalah Selangor, Johor, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak.
Lanjutan pelaksanaan PKPB di negeri berkenaan mula berkuatkuasa pada 15 hingga 28 April 2021, manakala 13 hingga 26 April 2021 bagi negeri Sarawak.
Meskipun tidak memberi penjelasan lanjut berkaitan tempoh lanjutan berkenaan, Adham bagaimanapun memberi isyarat bahawa lanjutan larangan tersebut menjangkaui tarikah sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan diraikan pada 13 Mei nanti.
"Saya fikir Menteri Kanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah mengumumkan bahawa tidak ada kebenaran rentas negeri hingga selepas Hari Raya Aidilfitri," ujar beliau lagi.
Pengesahan berkaitan lanjutan larangan rentas negeri akan dimaklumkan secara rasminya hari ini. - DagangNews.com