KUALA LUMPUR 17 Mac - Shopee kini mempunyai lebih 2 juta penjual tempatan yang menawarkan pelbagai jenis produk tulen buatan Malaysia kepada pengguna di pasaran.
Para penjual berkenaan menggunakan alat-alat Shopee paling popular yang menggalakkan penglibatan seperti Shopee Live, Shopee Feed dan live chat bagi mencipta pengalaman membeli-belah baharu, menarik dan unik untuk pengguna.
Pemerhatian data bagi pasca kempen 3.15 Hari Pelanggan Shopee mendedahkan bahawa bilangan perniagaan luar bandar dan komuniti Malaysia yang mengambil bahagian sebagai penjual Shopee Marketplace telah meningkat 7.5 kali ganda sejak bulan Januari 2020 hingga kini.
Selain memacu penglibatan mereka dalam ekonomi digital menerusi tahap pemahaman e-dagang yang lebih tinggi, penyertaan dalam modul peningkatan kemahiran yang ditawarkan percuma oleh Shopee University meningkat 49 kali ganda dalam tempoh ini.
Majoriti daripada penjual tempatan baharu ini telah mengembangkan perniagaan mereka sebanyak lebih daripada 150%, ekoran peningkatan liputan gudang dan rantaian bekalan.
Selain itu, Platform Antarabangsa Shopee telah memberikan mereka akses sehenti untuk meneroka peluang di pasaran luar negara, di mana barangan mereka boleh menjangkau pangkalan pengguna yang lebih luas.
Ketua Pegawai Operasi Shopee, Terence Pang berkata, pihaknya diberi galakan oleh keahlian penjual di platformnya dan berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka dalam mengembangkan perniagaan bagi mencapai pertumbuhan yang mampan.
"Memacu penjual tempatan di platform kami dan meningkatkan kemahiran mereka demi kejayaan e-dagang merupakan langkah pertama dalam menggunakan teknologi untuk berkhidmat kepada komuniti yang terabai supaya mereka menyumbang dengan besar kepada pemulihan ekonomi tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Shopee University telah memperkasakan lebih 148,000 penjual di seluruh Malaysia sejak peralihan kepada format atas talian pada tahun 2020.
Para penjual juga memanfaatkan program ShopeeXperts, di mana 27 jurulatih penjual bertauliah membimbing rakan penjual tempatan yang memerlukan lebih pengetahuan dalam aspek digital dan kewangan untuk beroperasi secara menguntungkan di atas talian.
Sebagai contoh, penjual Shopee Liow Chee Kah yang juga pemilik Woohuu Store, berjaya mencapai jualan RM1 juta dalam tempoh 7 bulan pertama selepas menyertai platform tersebut dengan menjual selipar.
Beliau belajar menggunakan Iklan Shopee dan mengambil bahagian dalam Jualan Kilat Shocking Sale Shopee untuk meningkatkan jualannya.
Pada bulan Januari 2022, berdasarkan maklum balas daripada 11,000 pengguna, Shopee telah dinamakan dalam “Ipsos Trust Track: The Most Trusted Corporations and Institutions in Malaysia (2021)”. - DagangNews.com