Lebih 41 bot, 16 lori dikerah pindahkan penduduk di Taman Sri Muda - PM | DagangNews Skip to main content

Lebih 41 bot, 16 lori dikerah pindahkan penduduk di Taman Sri Muda - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Lebih 41 bot dan 16 lori serta aset lain melibatkan anggota penyelamat sudah dikerah untuk memindahkan penduduk yang masih terperangkap dalam banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan makanan bermasak untuk dihantar ke rumah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Beliau berkata, kerja menyelamat dilaksanakan tanpa henti ketika ini dan proses pemindahan lebih 500 mangsa banjir sudah bermula sejak Jumaat lalu membabitkan anggota pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.

 

"Saya memahami kebimbangan rakyat terhadap mereka yang masih terkandas dan seperti yang saya tegaskan, usaha menyelamat sedang giat dilaksanakan.

 

"Terima kasih kepada anggota pelbagai agensi yang sehingga kini masih berkerja keras tanpa henti," katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

 

Ismail Sabri turut berterima kasih kepada sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli Keluarga Malaysia yang menghulurkan bantuan termasuk wakil rakyat.

 

banjir

 

Perdana Menteri berkata, beliau akan terus memantau perkembangan situasi di lokasi dan terus berdoa keadaan kembali pulih seperti sedia kala. - DagangNews.com