Lebih 5,000 kes denggi di Johor, catat 20 kematian | DagangNews Skip to main content

Lebih 5,000 kes denggi di Johor, catat 20 kematian

denggi

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kes denggi di negeri Johor terus mencatatkan peningkatan sebanyak 5,107 kes yang dilaporkan hingga 27 Jun lalu dengan jumlah kematian seramai 20 orang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan, jumlah tersebut tidak menunjukkan penurunan signifikan meskipun sebanyak 5,142 kes demam denggi dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Penurunan itu tidak signifikan, malahan terdapat peningkatan kepada jumlah kematian yang sangat ketara. Sebanyak 34 lokaliti wabak baharu dilaporkan yang menjadikan jumlah wabak aktif semasa adalah sebanyak 91 lokaliti.

"Daerah paling tinggi adalah daerah Johor Bahru (80.2%), diikuti Kulai (3.9%), Kluang (3.7%); Segamat (3.3%); Batu Pahat (2.4%); Mersing (2.1%), Kota Tinggi (1.4%); Muar (1.1%); Pontian (0.9%) dan Tangkak (0.9%)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, pengabaian aspek kebersihan dan tabiat pembuangan sampah yang tidak terurus menjadi faktor penyumbang kepada kes demam denggi.

"Masyarakat perlu sentiasa waspada terhadap kebersihan kawasan sekeliling rumah dan segera menghapuskan semua tempat pembiakan nyamuk di luar dan di dalam rumah," katanya lagi. - DagangNews.com