KUALA LUMPUR 18 Julai - Landskap pelancongan negeri Perak bakal berubah apabila Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) siap sepenuhnya bagi memudahkan akses pelancong ke sana.
Jajaran terakhir lebuh raya iaitu Seksyen 11 bermula dari Beruas ke Persimpangan Taiping Selatan akan dibuka menjelang akhir tahun ini sekali gus melengkapkan pembinaan.
Ini menjadikan Lebuhraya WCE sebagai gerbang terkini ke negeri itu yang akan menyambut Tahun Melawat Perak 2024 bertemakan 'Promising Perak'.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya bersedia untuk menyambut ketibaan kira-kira 8 juta pelancong yang disasar tahun hadapan apabila lebuh raya tersebut siap.
Menurut beliau, Lebuhraya WCE akan menjadi menjadi gerbang baharu ke negeri Perak.
"Pembukaan Seksyen 11 Lebuhraya WCE bermula dari Beruas ke Persimpangan Taiping Selatan yang merupakan jajaran terakhir WCE di negeri Perak menjelang akhir tahun ini adalah tepat pada masanya untuk membantu Tahun Melawat Perak 2024.
"Lebuhraya ini bakal menyajikan perjalanan yang menarik sepanjang pesisiran pantai barat kepada bakal 8 juta pelancong tempatan dan 350,000 pelawat antarabangsa ke destinasi pelancongan utama sepanjang jajaran pantai barat negeri Perak.
"Jajaran ini bermula dari Hutan Melintang ke Teluk Intan, Sitiawan ke Beruas, Trong dan penghujungnya, Taiping Selatan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Dengan siapnya bahagian penting Lebuhraya WCE ini, para pelancong kini mempunyai akses yang lebih cepat dan mudah bagi menikmati keindahan dan menyingkap keajaiban tarikan tersembunyi di sepanjang pesisir pantai negeri Perak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix menyatakan rasa teruja dengan tarikan alam yang menarik yang kini boleh diteroka dengan masa yang lebih singkat.
Katanya, Lebuhraya WCE juga dijangka menjadi pemangkin sosio ekonomi serta komuniti bagi kawasan bandar pesisir di Perak.
"Seiring dengan penganjuran Tahun Melawat Perak 2024, Lebuhraya WCE bersedia memainkan peranan penting dalam membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan mencipta peluang baru untuk komuniti setempat.
"Kami bangga menjadi jaringan penghubung bagi sebahagian besar daripada 8 juta pelancong yang dijangka melawat Perak pada tahun depan," ujarnya.
Jelas Lydon lagi, laluan penghujung Lebuhraya WCE di Selangor termasuk Seksyen 1 (Banting-SKVE) dan Seksyen 2 (SKVE-SAE) serta Seksyen 6 (Kapar-Assam Jawa) juga akan siap menjelang akhir tahun ini.
Katanya, perhubungan lebuhraya yang efisien dan strategik ini pasti akan menjadikan negeri Perak sebagai destinasi wajib dikunjungi dalam kalendar para pelancong. - DagangNews.com